Khamis, 28 Ogos 2014
Spinoza
Spinoza duduk di barisan yang paling belakang sekali di dalam sebuah rumah ibadat di kawasan perbandarannya. Dia menyaksikan betapa tekunnya umat manusia menunaikan kewajipan yang dituntut oleh agama. Tergambar ketenangan dan keyakinan pada wajah-wajah pengunjung rumah ibadat tersebut. Sebaik sahaja Spinoza memasuki bahagian dalaman rumah ibadat tersebut, dia turut merasa tenang dan senang. Mungkin kekuatan spiritual melimpah-limpah menjadi di dalam rumah ibadat ini yang menjana perasaan tersebut.
Rumah ibadat itu tidaklah sebesar mana. Cukup untuk lima puluh orang sahaja. Itu hanya di bahagian lelaki, bahagian perempuan hanya boleh memuatkan separuh sahaja daripada jumlah pengunjung di bahagian lelaki. Spinoza merasakan perkara ini sebagai sesuatu yang amat menghairankan. Hal ini kerana, daripada jumlah kasut yang disusun di pintu masuk kedua-dua bahagian, amat jelas bahawa pengunjung wanita lebih ramai daripada pengunjung yang berlainan jantina.
Oleh sebab Spinoza duduk berhampiran pintu keluar masuk di bahagian lelaki pengunjung rumah ibadat tersebut, dia di sapa oleh hampir semua pengunjung yang berkunjung sebentar untuk beribadat di ruangan kecil itu. Sempat juga dia berbual-bual ringkas dengan pengunjung-pengunjung yang menegurnya. Ada juga yang seakan-akan tidak melihat dia berada di situ. 'Sibuk bekerja agaknya. Masa itu emas.' fikir Spinoza. 'Atau aku sebenarnya hanyalah orang asing yang dilihat menumpang sebentar di sini. Jadi, tiada keperluan untuk menegurku walau sekejap.'
Agak sukar untuk mengelakkan diri dari melihat Spinoza. Dia bukan orang Asia seperti majoriti pengunjung-pengunjung rumah ibadat tersebut. Warna kulitnya sahaja jelas menunjukkan bahawa dia orang Eropah. Rambutnya perang dan disisir seakan-akan rambut Captain America yang baru sahaja disiarkan di panggung wayang. Anak matanya berwarna biru. Dia tersangatlah tinggi orangnya. Orang-orang yang menyapanya mempunyai ketinggian lebih sedikit sahaja daripada paras bahunya.
'Suasana rumah ibadat ini sangat-sangat sunyi dan sepi.' fikir Spinoza. 'Semua orang begitu khusyuk berkomunikasi dengan Tuhan secara sendiri-sendiri. Adakah Tuhan mendengar segunung permintaan dan selaut harapan yang dilontarkan di dalam setiap bait-bait doa setiap insan yang mengunjungi rumah ibadat ini?'. Spinoza ragu-ragu. 'Bagaimana pula dengan orang-orang yang sama-sama berdoa secara bersungguh-sungguh dan penuh pengharapan di rumah-rumah ibadat yang lain tetapi dengan cara-cara yang berbeza? Adakah di dengar juga setiap keluhan dan luahan mereka?'
Spinoza bukan orang yang kuat beragama. Agama asalnya berbeza daripada agama pengunjung rumah ibadat tersebut. Namun, melalui pembacaannya, dia tahu sedikit sebanyak tentang agama-agama yang mendominasi setiap rumah ibadat yang dikunjunginya. Dahulu, dia bukannya begini. Sebagai seorang yang taat kepada satu agama, dia begitu membenci melihat pembangunan rumah ibadat agama lain di kejiranannya. 'Menyemakkan mata. Menjemput bala.' fikir Spinoza. Tetapi pandangannya berubah seratus-peratus. Ada sesuatu yang berbeza yang dapat dilihat apabila dia masuk ke rumah ibadat yang berbeza.
. . . . . . . . . . .
'Kau bukan lagi sebahagian daripada kami! Pergi! Pergi kau keluar dari sini!'
Spinoza masih ingat hari itu. Hari itu, dia disingkirkan daripada komunitinya. Dia dituduh menyebarkan ajaran salah dan merosakkan pemikiran masyarakat. Dia diisytiharkan sebagai sesat. Dan orang yang sesat tidak lagi layak untuk mengunjungi rumah ibadat yang dikunjungi secara turun-temurun oleh masyarakat setempat. Dia juga disingkirkan oleh ahli keluarganya. Dia dianggap sebagai anak yang jahat serta dirasuk iblis dan syaitan, punca segala perkara yang jahat-jahat.
Spinoza tidak faham mengapa reaksi begitu dilontarkan kepadanya. Dia bukan orang jahat. Dia cuma salah seorang daripada berbilion-bilion orang yang turut serta di dalam pencarian kebenaran dan semakin hampir menemukan arah perjalanannya. 'Sebagai orang agama, sepatutnya mereka gembira kerana aku sudah berjumpa dengan sesuatu yang akan aku pegang seerat-eratnya.' keluh Spinoza. 'Walaupun jalannya sudah tidak lagi sama seperti mereka, sekurang-kurangnya, destinasi kita tidak berbeza. Apa gunanya hanya mengikut papan tanda jika ada jalan singkat yang mampu menembusi destinasi akhir dengan selamat dan menenangkan?'
Penyingkirannya mendesak dia hidup berkelana. Walaupun masih tinggal di kejiranan yang sama, namun dia tidak lagi diterima oleh sesiapa yang pernah berkongsi kepercayaannya. Dia hanya melihat dari jauh sanak-saudaranya dan rakan-rakannya membina kehidupan dan kenangan manis bersama-sama. 'Seronok tinggal bersama-sama ahli keluarga. Sekurang-kurangnya ada tempat berkongsi kasih dan sengsara.' Namun Spinoza tidak pernah menyesali perjalanan hidupnya. Dia percaya, kasih sayang itu juga merupakan penjara yang menghalangnya daripada menemui Penciptanya.
Sekurang-kurangnya Spinoza bebas mengembara. Dia bebas melihat kehidupan pelbagai golongan manusia di dalam menunaikan kewajipan hidup beragama. Tiada lagi fikiran-fikiran negatif yang cuba meracunnya daripada turut merasa ketenangan dan ketaatan penganut-penganut agama. Dia juga mampu menegah dirinya daripada kelakuan yang tidak bermoral tanpa perlu sebarang ancaman dan ganjaran. Segala kebaikan yang dilakukannya hanya kerana dia sendiri yang ingin berbuat begitu, dan bukan kerana didesak dan digalakkan oleh unsur-unsur luar.
Namun, ketara juga keburukannya. Bebas terapung di lautan luas kepercayaan agama bermakna dia semakin galak dilambung ombak dan mudah hanyut entah ke mana-mana. Ibarat sampan yang terlerai ikatannya, semakin lama semakin jauh sampan itu meninggalkan kelompok kapal laut dan bot-bot yang tersadai di jeti yang sama. Spinoza semakin terasing. Di lautan yang luas itu, dia sedar, dia tidak mampu kembali lagi ke jeti yang lama dan dia juga tidak mampu mengembara ke setiap tempat di seluruh dunia. Satu-satunya perkara yang mampu dilakukan ialah menikmati segala-galanya yang dilontarkan oleh laut lepas dan menerima apa sahaja yang dicurahkan oleh langit biru yang terbentang luas.
. . . . . . . . . .
'Encik dah selesai beribadat?' Spinoza ditepuk di bahagian bahunya. Dia tersentak dan tersedar daripada lamunannya. Di hadapannya kelihatan seorang anak muda berpakaian putih dan cerah menyapanya. 'Sudah.' Spinoza memberikan jawapan. 'Kalau begitu baguslah. Kami pun hendak menutup kawasan ini. Sudah larut malam.' 'Baiklah. Terima kasih saudara kerana memberitahu saya.' Spinoza beredar menuju pintu keluar rumah ibadat tersebut. 'Sama-sama' jawab lelaki yang menegurnya tadi. Dia turut serta mengekori Spinoza. Sampai sahaja di pintu keluar, dia segera menutup pintu masuk tadi tanpa menguncinya.
'Kenapa encik tidak mengunci pintu keluar masuk ini?' Spinoza hairan. Risau juga kalau barang-barang elektronik di dalamnya dikebas penyamun durjana. 'Oh. Tidak mengapa. Rumah Tuhan kan? Dia yang akan menjaganya. Lagipun, mudah untuk para pengembara untuk mencari tempat berlindung pada waktu malam yang sangat berbahaya.' Lelaki tadi memberikan jawapannya. Sampai di hujung simpang, Spinoza dan lelaki tadi berpisah dan menuju destinasi masing-masing.
Kelibat lelaki tadi mengingatkan Spinoza kepada zaman silamnya. Dia juga seorang yang kuat beribadat. Dia menjadi orang yang pertama mengunjungi rumah ibadatnya dan dia jugalah orang yang terakhir sekali keluar daripada bangunan tersebut. Segala ritual keagamaan disertai dan dihayati dengan penuh kesungguhan dan rendah hati. Harapannya moga-moga Tuhan menerima dan mengabulkan permintaan dia dan sekalian jemaah yang turut serta di dalam ritual tersebut. 'Tapi, itu cerita dulu. Sekarang juga masih begitu, cuma apa dan bagaimana caranya sudah tidak menentu.' bisik Spinoza untuk menenangkan hatinya dan memenangkan dirinya.
'Hebat sungguh lelaki tadi. Begitu kuat keyakinannya kepada Tuhan.' Spinoza membebel pula seorang diri. Dia merasakan bahawa dia juga perlu kuat di dalam menempuh gelora yang melambungkan kepercayaannya ke udara. 'Andaikata Tuhan mampu melindungi para pengembara di dalam rumah-Nya, sudah pasti Tuhan mampu melindungi hamba-hambanya yang berkelana di atas dunia yang luas ciptaan-Nya.' Spinoza bertambah yakin. Dia mencampakkan sejauh-sejauhnya tanggapan bahawa dia sudah menempuh penghujung perjalanannya. 'Alam semesta ini tidak terkira keluasannya. Anggaplah segala kebuntuan serta resah dan gelisah ini sebagai salah satu fasa perjalanan yang amat panjang namun tidak berkekalan.'
Esok pagi, dia berikrar untuk mengembara lagi.
. . . . . . . . . .
Tamat