Petang di Sakuragaoka agak meriah. Aktiviti ko-kurikulum yang dijalankan mengikat para pelajar untuk terus berada di perkarangan sekolah. Namun, Rumiko agak gelisah. Adik tirinya menanti untuk dijemput di perkarangan kawasan tadikanya.
'Misaka, Nanako, aku kena balik dulu. Adahal sikit.'
'Rumiko, takkan dah nak balik? Mesyuarat kelab pun tak bermula lagi.' Masaki yang baru muncul dari belakang kelas menyapa Rumiko yang tergesa-gesa mahu keluar dari bilik kelab.
'Aku kena jemput adik tiri aku dari kelas tadika. Risau nak biarkan dia balik ke rumah sorang.'
'Takpe lah. Kau baliklah dulu. Nanti apa-apa keputusan mesyuarat akan kami maklumkan esok dalam kelas.' Nanako memberi kebenaran kepada Rumiko untuk pulang.
'Shitsureishimasu.' Rumiko menutup pintu perlahan-lahan dan pantas berlari pulang.
. . . . . . . . . .
Rumiko kehilangan ayahnya akibat kemalangan. Sejak sekian lama dia dan ibunya hidup hanya berdua. Namun, kira-kira dua bulan yang lepas, ibu Rumiko berkahwin baru. Tetapi ibunya berkahwin dengan seorang lelaki yang bukan berbangsa Jepun. Secara tiba-tiba, dia menerima dua orang ahli keluarga baru kerana bapa tirinya mempunyai seorang anak lelaki dengan isterinya yang terdahulu.
'Menyusahkan betul. Tiba-tiba aku pulak yang kena menjemput dan menghantar adik tiri aku ke sekolah. Dah macam kuli dah ni.' Rumiko merungut. Dia tidak biasa disuruh-suruh oleh sesiapa.
Sampai di hadapan pintu tadika, kelihatan seorang budak lelaki yang berusia 5 tahun dan berkulit agak gelap menantinya di hadapan pagar.
'Nee-chan, kocchi, kocchi.'
Rumiko menuju ke hadapan pintu pagar. Setelah mengucapkan terima kasih kepada guru tadika, dia pun memimpin adik tirinya ke rumah.
'Ne..., ne.... Onee-chan, Kami sama no koto ga nanika shitteru?' Adik tirinya menarik tangan Rumiko dan bertanyakan soalan.
'Kami sama no koto? Doushite?' Rumiko hairan. Selalu benar adik tirinya bertanya soalan yang bukan-bukan. Semalam dia bertanya tentang agama. Hari ini dia bertanya tentang Tuhan.
. . . . . . . . .
Makan malam Rumiko dan ibunya tidak lagi sesepi seperti dahulu. Dengan kehadiran kedua-dua bapa dan adik tirinya, makan malam terasa sangat meriah. Bapa tirinya seorang yang ramah. Adik tirinya pula tidak banyak kerenah. Cuma dia memiliki sikap ingin tahu yang begitu membuak-buak tentang segala-galanya yang berada di depan mata.
'Rumiko, gakkou wa dou?' Bapa tirinya bertanyakan tentang persekolahan Rumiko.
'Gakkou wa chotto....' Persekolahan Rumiko memang tidak bermasalah. Namun dia agak terganggu dengan tugas baru sebagai penjaga adik tirinya. Sejak beberapa minggu lepas, Rumiko kerap kali gagal menghadiri aktiviti Kelab Sejarah dan Geografi selepas tamat sesi persekolahan.
'Rumiko, naze desu ka?' Ibunya pula yang bertanyakan jika ada apa-apa yang tidak kena. Ibunya seakan-akan tahu ada sesuatu yang tersembunyi di lubuk hati anaknya itu....
'Iie, iie.... Gakkou wa daijoubu...' Tak sampai hati Rumiko mahu merosakkan suasana makan malam yang ceria kebelakangan ini. Dia tidak mahu dilihat sebagai seorang yang begitu mementingkan diri sehingga sanggup tidak membantu keluarganya dalam menjaga kebajikan adik tirinya.
'Yokatta....' Ibunya lega apabila Rumiko memberitahunya tiada apa-apa yang tidak elok berlaku kepadanya semasa persekolahan.
. . . . . . . . . . .
'Rumiko-chan, kore wa mama no tomodachi. Mareshia kara kimashita.' Rumiko teringat saat kali pertama ibunya memperkenalkan bapa tirinya. Pada waktu itu, dia hanyalah kawan biasa ibunya. Dia tidak menyangka bahawa lelaki itu akan menjadi bapa tirinya.
Bapa tirinya merupakan seorang pelajar sarjana di dalam bidang Falsafah dan Sejarah. Dia seorang yang agak pelik. Kulitnya tidak cerah. Wajahnya tidak sekacak mana. Bahasa Jepunnya masih tersangkut-sangkut. Dia juga berasal dari sebuah negara tidak pernah didengari Rumiko. Namun, dia masih seorang yang beradab sopan dan begitu mengambil berat terhadap ibunya dan dirinya.
Adik tirinya pula seorang yang banyak bertanya. Setiap upacara keagamaan dan kebudayaan yang dilihat di sekelilingnya dengan segera akan ditanyakan kepada Rumiko. Selain itu, dia juga sering bertanya tentang banyak perkataan yang tidak difahaminya jika dia pulang dari tadika bersama Rumiko.
'Mungkin tempat dia berasal tidak ada upacara keagamaan yang sebegini. Lagipun agamanya aku tidak pernah dengar. Jadi, perpindahannya dari negara asalnya ke Jepun mungkin sebab utama munculnya pelbagai pertanyaan.' Rumiko cuba menyedapkan hatinya. Dia tidak mahu begitu pantas membenci dua orang yang baru hadir dalam hidupnya.
. . . . . . . . . . .
'Susah aku nak jawab soalan adik tiri aku ni. Pasal agama? Pasal Tuhan? Macam mana aku nak bagi jawapan yang sesuai dengan usiaku dan usianya?' Rumiko merungut di dalam bilik tidurnya. Dia tahu bahawa adik tirinya akan mendesaknya memberikan jawapan.
'Apasal dia tak tanya ayah? Ayahkan seorang pakar dalam bidang falsafah dan keagamaan. Memang bidang kajian dia pun.'
Rumiko menyelak-nyelak ensiklopedia yang diberikan oleh ibunya sempena hari lahirnya yang lepas. Dia cuba-cuba juga mencari-cari tentang Tuhan dan agama. Namun hanya nama-nama agama dan sedikit sebanyak ajaran dan kepercayaan sahaja dimuatkan di dalam ensiklopedia tersebut.
'Ini hanya jenis-jenis agama dan Tuhan-tuhan yang disembah. Ini bukannya tentang apa itu Tuhan dan apa itu agama.'
'Hmmm..... budak kecil ni memang terlalu luas pemikirannya. Aku sendiri pun tak pernah bertanya. Selagi aku tenang dan aku senang, selagi itulah aku akan mengamalkan ajaran-ajaran yang aku pegang sekarang.'
Rumiko merungut lagi. Tak terkira rungutannya sejak kebelakangan ini.
'Kalau macam itu, baik aku bertanya sahaja kepada ayah.' Rumiko menuju bilik bacaan bapa tirinya. Dia yakin bapa tirinya masih tidak tidur lagi kerana bapa tirinya sedang menyiapkan tugasan untuk pengajian sarjananya di sebuah universiti di bandaraya.
. . . . . . . . . . . .
Bapa tiri Rumiko memilih untuk melanjutkan pelajaran di Jepun kerana dia amat berminat untuk mengkaji tentang perkembangan agama di negara ini. Katanya, masyarakat Jepun amat menarik kerana mereka bersikap terbuka terhadap pelbagai agama.
Dia mahu mengkaji bagaimana Shintoism mampu diasimilasikan dengan ajaran Buddha dan perkembangan aliran Zen yang merupakan gabungan ajaran Taoism dan Buddhism dalam kalangan masyarakat di sini. Dia juga tertarik untuk mengetahui bagaimana masyarakat Jepun mahu menahan asakan penyebaran agama Kristian dan Islam di tanah Jepun.
Rumiko turut mendengar cerita daripada ibunya, bahawa bapa tirinya pernah menolak tawaran untuk bekerja di sebuah Muzium terkemuka di negaranya semata-mata kerana minatnya kepada agama orang Jepun
'Tok.. tok.. tok..' Pintu diketuk. 'Ayah, masih berjaga lagi ke?'
'Masuk. Ayah tak tidur lagi.' Bapa tiri Rumiko menyuruh dia masuk.
'Kenapa Rumiko? Ada apa-apa masalah?'
'Tiada ayah. Cuma, saya ada dua soalan yang memerlukan seringkas mungkin jawapan.'
'Apa soalannya? Tanyalah...'
'Ada seorang kawan bertanya tentang Tuhan dan agama. Apa pendapat ayah tentang kedua-duanya?'
'Tuhan? Pada pendapat ayah, Tuhan merupakan cara manusia menjelaskan kewujudan alam dan sekalian isinya. Manakala agama pula merupakan tatacara bagaimana manusia perlu berinteraksi dengan alam ini.'
. . . . . . . . . . .
'Terima kasih ayah....'
'Sama-sama....'
Rumiko bergerak menuju pintu bilik. Baginya, jawapan ayah lebih banyak membuahkan pertanyaan daripada penyelesaian. Dia baru sedar bahawa dia sekadar mengikut-ngikut kebiasaan ramai dalam beragama tanpa mengkaji sedalam-dalamnya.
'Nampak mudah....' Kata Rumiko setelah keluar dari bilik bacaan bapa tirinya.
'Tapi, macam mana aku nak terangkan kepada adik petang esok?'
Rumiko kembali ke biliknya. Ensiklopedia tadi dibaca berkali-kali. Masih tiada jawapannya. Dia mahu belajar lagi. Kali ini, kelihatan bahawa Rumiko yang lebih bersemangat untuk mengetahui jawapan kepada soalan-soalan adiknya.
'Patutlah adik tak mahu bertanya sendiri kepada ayah. Dia tahu yang dia pun takkan faham dengan jawapan ayah...'
Esok dia mahu menjemput adiknya lagi.
. . . . . . . . . .
Tamat.