Selasa, 26 Ogos 2014

Friedrich


Friedrich termenung. Buku-buku dan nota-notanya dibiarkan tidak tersusun.

'Buat apa nak disusun. Pembelajaran sudah tamat.'

Rakan-rakannya giat mengemas setiap barang yang berada di dalam bilik. Sebahagiannya sudah mahu balik. Tak sabar hendak memasuki dunia kerjaya kata mereka.

'Kau tak nak balik? Periksa dah habis. Cepat balik, cepat bekerja.'

'Tak apalah. Kau kemaslah dulu. Aku ada hal sikit nak buat dekat universiti ni.'

'Kalau macam tu, tak apalah. Aku pun nak keluar kejap. Nak makan dengan geng-geng kita yang sama-sama habis hari ni.'

'Ok.'

Benedict meninggalkan Friedrich seorang di dalam bilik bernombor 283. Friedrich kembali termenung.

. . . . . . . . . . . 

Tok... tok... tok...

'Siapa tu?' 

'Sayalah. Awak kenal rasanya.'

Friedrich hairan. Benedict baharu sahaja meninggalkan bilik bersama rakan-rakan lain untuk pergi makan-makan.

'Kenal ke?'

'Bukalah pintu ni dulu. Kalau saya sebut nama pun, awak takkan ingat rupa saya.'

'Tunggu kejap.' Friedrich bangkit dari katilnya. Pantas dia menuju ke pintu biliknya.

'Siapa pulak ni? Aku ada kawan lain ke yang baru kenal baru-baru ni?'

Friedrich baru sahaja berbaring. Baru shaja dia hendak menghilangkan kegelisahan kerana memikirkan masa hadapan yang agak kelam. Dia baru menghabiskan pelajaran. Tetapi, dia masih lagi tidak nampak arah tujunya. Hampir sahaja hendak melelapkan mata, tiba-tiba ada tetamu yang menanti di hadapan pintunya.

. . . . . . . . . . . . 

'Selamat petang, Friedrich.' 

Kelihatan seorang yang agak berusia berdiri di hadapan pintu bilik Friedrich. Dia menanggalkan topinya sebagai tanda hormat.

'Siapa dia ni? Kuno sungguh pemakaiannya' Friedrich berbisik dalam hati.

'Nampak macam orang-orang zaman Abraham Lincoln pulak pakaian dia ni.'

'Hmmm... Awak mengutuk saya ke?' Tiba-tiba lelaki itu bersuara.

'Eh... taklah. Tak. Mana ada kutuk-kutuk. Berdosa.' Friedrich terkejut.

'Bagaimana agaknya dia tahu apa yang bermain di fikiran aku?'

'Hmmm.... saya dengar tu.' Orang tadi mencelah. Friedrich bertambah terkejut.

'Marilah masuk. Maaflah bilik agak berserabut.' 

'Tidak mengapalah. Saya datang bukan hendak masuk. Saya datang untuk bawa awak keluar dari bilik dan minda awak yang berhabuk.'

'Berhabuk?'

'Mari. Jom ikut saya.'

Bagaikan dipukau, Friedrich mengikut orang misteri tadi keluar dari biliknya. Tiba-tiba, persekitarannya berubah dan menjadi asing.

. . . . . . . . . . .

'Maafkan saya. Saya lupa hendak memperkenalkan diri saya tadi. Nama saya Oscar. Oscar Wilde.'

'Oscar? Oscar Wilde? Penulis berbangsa Irish yang terkenal tu?'

'Hahaha... Tidak. Itu orang lain. Nama sahaja sama.'

'Apa tujuan awak sebenarnya? Kenapa tiba-tiba datang nak bawa saya berjalan-jalan?'

'Kenapa? Kenapa agaknya ya? Ya. Baru saya teringat. Saya hendak membawa awak ke suatu tempat.'

'Suatu tempat? Mana?

' Mana ya? Ya. Baru saya teringat. Saya ditugaskan untuk membawa awak ke neraka.'

'Neraka?'

Friedrich mengigil ketakutan. Dia masih muda. Tidak pernah terfikir olehnya tentang 'neraka'. Jangankan 'neraka', kematian pun tak pernah dia fikirkan sedalam-dalamnya. Lambat lagi fikirnya.

. . . . . . . . . . . 

'Selamat datang ke Neraka.' ujar Oscar.

'Neraka? Ini neraka?' Friedrich terkebil-kebil. 

'Biar betul?'

'Betul. Inilah neraka.'

Friedrich, dengan diiringi Oscar tiba di satu tempat yang digelarkan sebagai neraka. Namun, neraka yang ditunjukkan Oscar bukanlah neraka seperti yang difahaminya melalui ajaran-ajaran agama.

'Mana apinya? Mana pisau gergajinya? Mana batu-batu panas yang mencair dan membakar manusia?'

'Eh... itu neraka yang mana?' Oscar bertanya.

'Oh... itu bukan neraka?'

'Itu pun neraka. Tapi masih lagi wujud perdebatan tentang ciri-ciri fizikalnya. Yang ini pun neraka. Tapi yang ini ialah neraka Dunia.'

. . . . . . . . . . . 

'Neraka Dunia? Kenapa rupanya macam pejabat orang berkerja je?'

'Ha... inilah dia. Kenapa? Tak percaya?'

Friedrich mengelilingi persekitaran pejabat tersebut. Tiada apa-apa yang luar biasa. Segala-galanya seperti pejabat-pejabat lain yang ada di dunia. Ada komputer. Ada mesin fotostat. Ada pekerja. Ada rakan sekerja. Dan ada pegawai-pegawai yang besar kepala.

Friedrich menggaru-garu kepalanya. 

'Apa masalahnya dengan pejabat yang ada ini?'

'Kau hairan Friedrich? Nak tahu mengapa ini yang dikatakan neraka?'

'Kenapa?'

'Mari aku tunjukkan....'

Oscar mengajak Friedrich mengikut salah seorang pekerja. Kebetulan hari itu hari Jumaat. Jam pun menunjukkan pukul lima. Pekerja itu sedang dalam perjalanan keluar pejabat dan menuju ke kereta.

. . . . . . . . . .

'Siapa dia ni? Kenapa kita ikut dia?' Friedrich bertanya kepada Oscar. 

'Dialah salah seorang ahli neraka.' Jawab Oscar ringkas.

Pekerja tadi membuka pintu keretanya. Dia masuk dan memandu kenderaannya pulang ke rumah.

'Abang! Abang dah balik?'

'Dah. Lepas habis kerja, abang terus balik.'

'Abang dah makan?'

'Belum. Tapi abang nak tidur sekejap. Penat.'

'Pekerja ini namanya Friedrich.' Tiba-tiba Oscar bersuara.

'Friedrich? Sama namanya dengan nama saya.'

'Of course. Kalau tersalah arah, mungkin jalan hidup kamu berdua juga sama.'

'Sama?'

. . . . . . . . . . .

Friedrich "sang pekerja" sudah sepuluh tahun bekerja. Kerjanya biasa-biasa saja. Duduk di pejabat, menaip, menelefon orang dan bermesyuarat dua puluh empat jam. Cuti hanya pada hari Sabtu dan Ahad. Hari itu pun dia bukannya buat apa-apa. Cuma duduk termenung dan bergesel-gesel dengan anak bini sahaja.

'Sayang... abang tak sangka hidup abang begini jadinya.'

'Jadi apa abang? Saya tengok biasa-biasa saja.' Virginia cuba menenangkan hati suaminya.

'Cita-cita abang dahulu setinggi langit perginya. Ingin mengubah manusia. Ingin mengubah dunia. Tapi sekarang, diri abang sendiri tak mampu abang ubah akhirnya.'

'Janganlah begitu abang. Sekurang-kurangnya abang cukup makan. Saya dan anak-anak pun sihat dan cukup keperluan.'

'Tapi sayang... abang nak berbakti kepada bangsa dan negara abang. Abang mahu menyebarkan pengetahuan dan menggalakkan pemikiran masyarakat kita. Sistem sekarang sudah rosak dan merosakkan.'

'Abang... apanya yang rosak dan merosakkan. Saya tengok negara ini tetap aman. Rakyat pun bahagia dan menyayangi pimpinan.'

'Awak tak faham....' Friedrich "sang pekerja" bangkit dari tilam. Ditinggalkan isterinya terpinga-pinga berseorangan.

. . . . . . . . . . .

Friedrich "sang pekerja" menuju ke ruang bacaannya. Dibelek-beleknya semua buku-buku lamanya. Dahulu dia mempunyai cita-cita yang besar. Dia mahu mengajar. Dia mahu mengajar anak bangsanya bagaimana cara berfikir yang menjamin kesejahteraan semua.

 Dia mahu anak muridnya menyebarkan pemikirannya tentang bagaimana caranya untuk membasmi pembodohan masyarakat awam yang diperlakukan seperti orang dungu lagaknya. 

Dia mahu membantu menggalakkan keharmonian. Dia mahu membina alternatif kepada sistem sekarang yang dirasakan sudah tidak berkesan dan tidak mampu menanggung beban.

'Kenapa dia tidak mengejar cita-citanya, Oscar? Adakah sesuatu yang menjadi penghalangnya?'

'Kenapa? Kenapa ya? Ya, baru teringat. Dia penakut dan selalu was-was orangnya.'

Friedrich "sang pekerja" berasa amat menyesal. Bimbang tidak berwang, dia dengan rela meninggalkan cita-citanya untuk menjadi seorang ilmuan. Segera di ambil peluang bekerja di sebuah syarikat terkemuka yang menggajinya dengan bayaran yang agak lumayan jumlahnya. Pekerjaannya pun mudah sahaja. Hanya perlu menaip, bermesyuarat dan bersosial dengan rakan-rakan sekerja.

Namun, dia tidak berpuas hati sebenarnya. Segala ilmu yang dicurahkan oleh guru-gurunya dibazirkan begitu sahaja. Pengetahuan yang dikumpulkannya ibarat angin yang berlalu pada waktu senja. Dia hanya menjadi seorang pekerja. Bukan pencetus reformasi dunia.

'Lambat sangat jalan ceritanya. Mari saya cepatkan masanya.' Oscar bersuara.

. . . . . . . . . . .

Kalendar yang terletak di atas meja di pejabatnya dikoyakkan. Hari ini sudah 1 September. Hari ini hari pertama Friedrich "sang pekerja" memulakan pekerjaannya pada bulan dan minggu yang baru.

'Di sini lagi aku rupanya. Sampai bila? Sampai bila?'  rungut sang pekerja.

'Kenapa? Kenapa begini jadinya?' keluhnya lagi.

'Oscar...'

'Dia memangil-manggil nama awak Oscar....' Friedrich seakan-akan terdengar suara perlahan "sang pekerja".

'Mana ada.... silap dengar rasanya.' Oscar pantas menidakkan.

'Marilah. Mari kembali ke alam nyata.' Oscar menepuk bahu Friedrich. Friedrich akur kata-katanya.

. . . . . . . . . . .

'Kita berpisah di sini sahaja.' Oscar membuka pintu bilik Friedrich.

'Oscar! Hendak ke mana? Saya ada banyak lagi perkara yang hendak saya tanya!'

'Cukuplah.' 'Saya hanya mampu menunjukkan sahaja. Pilihan terletak di tangan awak sebenarnya.'

'Tapi, saya tiada jawapannya!'

'Jawapannya ada. Cuma perasaan tidak bersedia dan mengikut kata-kata orang sekeliling yang menghalang awak mengejar cita-cita. Selamat tinggal. Semoga kita tidak lagi berjumpa selama-lamanya.'

'Tunggu..!'

Oscar menghilangkan dirinya.

. . . . . . . . . . .

Belum sempat Friedrich memahami apa yang terjadi kepada dirinya, Benedict menepuk bahunya dari belakang.

'Kau pergi mana? Puas aku dan kawan-kawan mencari kau. Kitorang rancang nak makan luar sahaja malam ni. Kau nak ikut?

Friedrich terpinga-pinga. 

. . . . . . . . . . .

Tamat.