Rabu, 30 April 2014

Isu semasa.

Secara jujurnya, aku tengok isu Hudud lebih kepada isu agama.

Sebagai sesuatu yang disyariatkan oleh Islam, orang Islam percaya Hudud adalah penyelesaian terbaik kepada isu jenayah.

Tapi, orang bukan Islam yang semestinya tidak beragama Islam sudah pasti enggan tertakluk kepada hukum agama Islam dan mana-mana hukum agama yang bukan mereka anuti.

Orang Islam sendiri pun tak nak tertakluk kepada Common Law dengan alasan pengaruh Inggeris dan Kristian yang melambak-lambak.

Jadi penentangan itu adalah sesuatu yang normal.

Nanti timbul persoalan. Kalau orang Islam sendiri yang menentang macam mana?

Jawapannya, selagi tiada contoh yang baik yang berjaya dibuktikan oleh negara Islam moden dalam menangani jenayah, selagi itulah ada keraguan dalam kalangan umat Islam sendiri.

Malang sekali, yang mengungguli kecemerlangan pencegahan jenayah pada masa sekarang adalah negara-negara bukan Islam dan ini menggoyahkan lagi penerimaan Hudud dalam kalangan Muslim dan non-Muslim.

. . . . . . . . . . . .

Kesimpulan: Tingkatkan pencegahan jenayah melalui pendidikan dan kawalan diri melebihi pelaksanaan tegas bermacam-macam jenis hukuman.

Contoh kecil: Kalau tak datang kelas pun kedatangan masih bertanda, bermakna kawalan diri yang lemah dan cenderung untuk melakukan kesalahan kalau tak ada mata yang memandang.

'Siakap senohong, gelama ikan duri. Bercakap bohong, lama-lama mencuri.'

Bila aku pikir fasal duit.

Bila aku pikir fasal duit, sakit-sakit otak aku kena cubit.

'Duit?'

'Kau menulis fasal duit?'

'Ya. Fasal duit.'

'Kenapa duit?

'Sebab, tanpa duit, badan perit, perut menjerit.'

'Habis, badan perit, perut menjerit, kau sanggup hati kau jenuh menanggung sakit?'

'Ya. Kalau kau hidup tanpa duit, kau pun perit, kau pun menjerit.'

'Aku rela badan dan perut yang meraung dan menjerit! Asalkan jangan hati yang jenuh menanggung sakit.'

'Apa fasal hati yang menanggung sakit?'

'Mestilah sakit. Kau menulis sebab duit. Bukan menulis sebab hati kau yang tergarit!'

'Hah?'

'Kau ingat dengan duit, luka-luka boleh dijahit? Kau ingat dengan duit, boleh tutup kudis-kudis yang melekit?'

'Tapi, menanggung sakit atas Hayabusa yang dirempit lebih bergaya daripada menjerit perit atas Modenas Kriss yang lembab lembik.'

'Hey! Kau kutuk motor aku lembab lembik. Kau tu masih lagi berjalan kaki di lorong sempit!'

'Kau tunggu! Kau tunggu buku aku siap diterbit!'

Hey, hey! Sakit, sakit!

Selasa, 29 April 2014

Waktu.


Akan tiba satu waktu

Aku akan menulis buku

Mula berkongsi pendapat aku

 Menebar juga pandangan baru

Menyebar perkara yang aku tahu

Mulai bergelar seorang guru.


-tamat-

Rabu, 16 April 2014

Encik F.

Dimulakan dengan petikan koto dan tiupan shakuhachi, Encik F terjaga dari mimpi. Kemudian, kedengaran gesekan shamisen yang diiringi suara merdu mendayu-dayu pelantun shigin memenuhi kamarnya sunyi.

Sudah berbulan-bulan lamanya sinar bulan menjadi penemannya yang tak pernah mati. Matanya tidak mampu ditutup lagi. Mindanya tak dapat dikunci. Kadang-kala, dia mengeluh kerana kepercayaannya sedang diuji.

Sudah tidak terkira putaran lagu dendangan kumpulan Wagakki yang menjadi konduktor pengalir arus fikirnya ini. Terasa mahu sahaja Encik F menulis tentang segala-galanya yang dipendam di dalam hati.

"Bertuah sungguh. Bertuah sungguh siswa-siswi yang peluangnya telah diberi untuk menuai ilmu dan budi di penghujung bumi. Bertuah sungguh siswa dan siswi yang menjadi saksi cahaya mentari mula-mula sekali mencumbui tanah-pamah yang suci di penghujung bumi."

Encik F mula merungut seorang diri.

"Di penghujung bumi, cahaya Sakyamuni bersinar dengan terang sekali. Cahaya ini tidak sekali-kali membunuh budi dan daya peribumi."

"Amaterasu Omikami bukanlah seorang yang pembenci. Diterima Sakyamuni seolah-olah Sakyamuni salah seorang dewa dan dewi di bumi Yaoyorozu no Kamigami."

"Ah... bila rasanya aku dapat menjejakkan kaki di penghujung bumi. Muak rasanya hidup di bumi yang dipenuhi rasa benci dan perasan diri terlalu 'holy'. Benci aku. Benci!"

"Yang dilaung-laung para pencaci, 'kalau kau bukan golongan aku, biar kau hangus dibakar nanti. Kalau kau bukan berfahaman aku, biar kau mampus diseksa nanti.' Adakah ini yang aku cari?"

"Di bumi yang aku pijak hari ini, tidak mungkin sekali-kali peristiwa Hachiman yang turut serta membina tugu Sakyamuni akan berulang disini."

"Hmm... tapi aku sendiri tak berani. Begitu teguh hatiku ini tertancap di sini. Hendak menuju matahari, takut pula dilambung ombak Tsunami. Itu belum lagi kalau aku mahu mendaki ke puncak Skytree. Gayat rasanya nanti,"

'Arghhh! Kau penakut! Penakut gila babi! Terlalu busy menjaga hati. Tidak sekali-sekali dunia ini akan melayan kau seperti tuan puteri sehingga akhir hayat kau nanti!

Pergi kau negativiti! Pergi kau mati! Jadikan telinga kau itu telinga kuali. Tak sekali-kali terbakar dek panas api!

Leburkan sahaja hati kau nanti! Biarkan mengeras bersama-sama caci dan maki supaya menjadi kukuh dan keras seperti keluli!

Tinggalkan segala memori. Kau hidup hanya pada waktu ini. Jadikan waktu ini waktu engkau menjejakkan kaki di tanah yang suci!

Kau perlu bangkit dari mimpi-mimpi! Kau ingat tak lagi apa yang engkau janji usai pengajian sarjana muda kau nanti?'

Hati kecil Encik F mengherdik dirinya sendiri. Encik F patah hati dengan dirinya sendiri. Berapa kali Encik F lari? Berapa kali Encik F kecewa dan makan hati? Ini semua salahnya sendiri.

Ingin saja Encik F lari dan kembali ke dunia mimpi untuk terakhir kali. Lari ke dunia mimpi di mana segala-galanya harmoni di samping Koma-Inu dan Torii.

. . . . . . . . . .

Glosari:

Koto, Shamisen, Shakuhachi: Alat muzik Jepun
Shigin: Persembahan bacaan puisi Jepun yang berasal dari cina.
Wagakki: alat muzik Jepun secara am. Nama band Jepun
Sakyamuni: Buddha
Amaterasu Omikami: Dewi utama Shinto
Yaoyorozu no Kamigami: Jumlah dewa-dewi dalam kepercayaan Jepun.
Hachiman: Dewa Perang Shinto. Salah seorang Boddhisatva.
Skytree: Tokyo Skytree
Koma-Inu: Patung berbentuk gabungan singa atau anjing di hadapan tokong Shinto atau Buddha.
Torii: Macam pintu masuk sebelum Tokong Buddha/Shinto.

Isnin, 14 April 2014

Positif!



Positif

Positif

Positif

Positif

Positif

Positif

Positif


-tamat-

Jumaat, 11 April 2014

Emak

'Hmm... bila agaknya nak siap download ni? Lambat gila. Dah pukul 12 tengah malam ni. Cerita Pokemon je kot.'

'Abang.. ooo... Abang! Abang!'

'Ye mak! Kenapa mak? Nak suruh beli makanan tengah malam ke?'

'Bukanlah. Ni pasal lain. Abang, mak ingatkan Imam al-Ghazali tu imam yang hidup masa zaman dulu-dulu. Rupa-rupanya baru lagi dia lahir.'

Emak masuk ke dalam bilikku. Dia pun menyuakan buku bertajuk Dialog Dengan Al-Quran dan menunjukkan jarinya pada nama penulis tersebut.

'Emak dengar dekat TV hari tu, Imam Al-Ghazali lahir tahun 1917. Maknanya tak jauh sangat la jarak dia dengan kita.'

'Eh... Emak dah silap orang ni. Penulis buku ni namanya Sheikh Muhammad al-Ghazali. Orang yang disebut dalam TV tu pun sheikh yang ini. Tapi dia bukan Imam al-Ghazali. Imam al-Ghazali lahir tahun 1050 lebih Masihi.'

'Tak sama ke? Mak tengok macam sama. Cuba tengok apa yang dia tulis dekat buku ni. Imam al-Ghazali atau nama sebenarnya Muhammad bin Muhammad Al-Ghazali. Kan sama nama tu?'

'Ni Al-Ghazali lain mak. Imam Al-Ghazali orang Parsi. Lahirnya di Tus, wilayah Khurasan. Dekat Iran. Sheikh ni pulak orang Mesir. Lahirnya di Iskandariyah. Tak sama dua-dua ni.'

'Iran? Iran bukan negara Syiah? Macam mana boleh ada ahli Sunnah?'

'Dulu Iran memang wilayah Ahli Sunnah wal Jamaah, mak. Cuma lepas Dinasti Safawiyah naik tahun 1500-an, baru mazhab utamanya ditukar jadi Syiah Imam Dua Belas.'

Pantas aku letakkan buku nipis yang aku pegang berjudul Introduction to Zen Buddhism di atas meja belajarku.

'Hmm.. makin semak meja aku dengan rujukan-rujukan mengenai agama Buddha ala Jepun.'

Aku baru saja mahu menyusun buku nipis itu sebaris dengan buku-buku agama yang lain. Tiba-tiba emak datang. Mataku pantas melilau pada rak-rak buku di sebelah katil tempat tidurku.

'Mana agaknya buku Tokoh-tokoh Gerakan Islam Abad Moden yang aku beli hari tu? Hmm....'

Setiap rak digeledah. Puisi-puisi Rumi, Gibran, Tennyson dan Neruda ditarik keluar. Namun, karya Dr. Riduan Mohd Nor itu masih tak kelihatan.

'Bukan rak ni kot. Rak lagi satu rasanya.'

Aku meneliti satu persatu rak-rak yang ada. Masih juga tak kelihatan kelibat buku tersebut. Yang ada hanyalah karya-karya Zainuddin Maidin, Dato' Seri Utama Rais Yatim dan ayahanda Tun Dr. Mahathir Mohamad. Aku beralih pada rak yang lain.

'Hmmm... masa aku tak nak cari buku Al-Sheikh al-Allamah Dr. Sayid Husain al-Musawi, masa tu la buku ni terjojol depan-depan mata. Masa nak baca, lenyap entah ke mana. Sama jugak dengan buku-buku Kassim Ahmad. Ha! Dah jumpa!'

Rupa-rupanya buku itu terselit di antara kitab Injil dan biografi Nabi Isa karangan seorang novelis Katolik berbangsa Jepun. Aku terlupa untuk meletakkan buku itu di tempat yang sepatutnya selepas bilikku selesai diubah suai. Aku pun memberi buku tadi kepada ibuku.

'Nah mak. Tengok ni. Ni lah Sheikh Muhammad al-Ghazali. Imam Al-Ghazali lain orangnya. Tengok buku ni pulak. Yang ni baru Imam al-Ghazali.'

Aku mencapai buku Tamadun Islam yang dibaringkan bersama-sama rujukan mengenai Pornografi, Geisha dan Samurai di Jepun. Buku itu disuakan kepada emak. Tekun emak membacanya.

'Oh.. Lain ke? Ingatkan sama. Nama dah lah sama. Punyalah emak ingatkan Imam Al-Ghazali ni geng-geng kaum Muda. Eh, kau apasal tak tidur lagi?'

'Tak boleh tidur mak. Sekarang ni tengah baca pasal teori Darwin. Ala pasal teori yang kononnya manusia berasal daripada monyet. Ni buku dia.

Aku menunjukkan buku 'On the Origin of Species' kepada ibuku. Pantas dibelek-belek buku yang digelar kitab suci evolusi tersebut.

'Tak nampak monyet pun dalam buku ni.... Yang ada tulisan je.'

'Tulah. Sebab orang malas baca la diorang tuduh macam-macam dekat Darwin ni.'

'Dah pergi tidur. Tak elok tidur lambat-lambat. Kau nak jadi bujang terlajak?'

'Terlajak pun terlajak lah.... life begins at forty.' Aku ketawa seorang diri.

'Malas nak layan kau ni. Nasib baik kau tak cerita fasal teologi macam pagi tadi. Kusut kepala mak. Rasa macam nak klorok balik kepala otak lepas kau bagi kotor dan berkarat.'

Emak melangkah menuju pintu bilik. Tiba tiba dia menjerit kerana terkejut.

'Opocot! Eh abang! Apasal ada buku kau dekat bawah kaki mak ni. Susun balik. Bersepah-sepah!'

'Ye mak. Abang nak susun la ni. Tadi nak susun tiba-tiba mak datang.'

Aku pun mengambil naskhah The God Delusion, Tao Te Ching dan Thus Spake Zarathustra lalu 'menyusunnya' di atas almari. Buku-buku itu diletakkan sebaris dengan karya Descartes, Schopenhauer dan Spinoza.

Tiba-tiba, aku terpandang sudut paling bawah rak buku yang paling uzur dan paling usang. Mataku merenung pada buku rujukan undang-undang yang hadir di dalam hidupku tanpa diundang.

. . . . . . . . . .

Pengangguran dan hidup bujang adalah resipi terbaik kepada pluraliti.


Tamat

Selasa, 8 April 2014

Kecewa!


Adalah sesuatu yang menghampakan
apabila hidup berseorangan 
meneruskan perjalanan
mengunjungi wilayah yang terlarang

Kerana dia bukan yang bersayap pemikiran
Dia hanyalah seorang yang enggan
Membina sarang pada dahan-dahan
Sebatang pohon yang sangat usang.

Dan berkelanalah seorang-seorang,
menembus daerah kepercayaan 
sehingga terbentang luas kebenaran, 
dihampar kemas Maha Suci Tuhan.

-tamat-

Jumaat, 4 April 2014

Dialog.


A: Kau tahu macam mana hendak mengalahkan hujah-hujah atheist?

B: Entah. Macam mana?

A: Kau tanya budak-budak tak bertuhan itu bagaimana mahu membuktikan kewujudan udara. Kita tahu udara itu ada. Dan kita tahu hari-hari kita menghirupnya. Tapi, cuba kau suruh mereka buktikan bahawa udara itu ada. Mereka pasti tidak boleh tunjukkan di mana udara. Kerana udara itu entiti yang tidak nampak dan ghaib.

B: Ok. Habis tu?

A: Kau kiaslah kan dengan kewujudan Tuhan. Bagaimana Tuhan itu ada walaupun kita tak dapat mengesan dengan penglihatan dan pendengaran kita.

B: Tapi....

A: Tapi apa?

B: Udara masih boleh disukat. Udara juga boleh dipecah-pecahkan kandungannya melalui ujikaji sains. Udara boleh dimanfaatkan dan disimpan untuk kegunaan masa hadapan. Tapi, Tuhan tidak boleh dibuktikan apa-apapun kewujudannya. Kalau kita boleh tahu yang udara itu terdiri daripada Oksigen, Karbon Dioksida, Nitrogen dan sebagainya, bagaimana kita hendak mengetahui bahawa Tuhan itu bukan Zeus, Baal, Yahweh, Siva, Wisnu, Buddha, Maharaja Jed serta Hyang Besar atau gabungan semuanya? Bolehkah ketuhanan itu disukat dan dimanfaat sama seperti udara?

A: Kau...... Kau atheist!

. . . . . . . . . .

Di dalam sebuah kelas, ada seorang murid membidas gurunya dengan mengatakan bahawa jika gurunya berotak, maka tunjukkan otaknya. Jika gagal, maka otaknya tiada dan tidak wujud. Dia kemudian membuat kiasan menyamakan kewujudan otak gurunya sama seperti kewujudan Tuhan. Otak itu ada. Tetapi tidak dapat ditunjukkan kewujudannya.

Guru: Jadi, atas alasan ini kamu ingin membuktikan kewujudan Tuhan?

Murid: Ya.

Guru: Bagaimana kalau saya katakan jika saya membelah kepala saya ini, maka akan kelihatan organ yang bernama otak. Setuju atau tidak?

Murid: Setuju.

Guru: Dan bagaimana kalau saya katakan bahawa dengan berdiri dihadapan kamu semua dan mengajar kamu semua maka boleh dikatakan saya mempunyai otak dan menggunakannya untuk manfaat kamu semua?

Murid: Setuju

Guru: Jadi bagaimanakah untuk kita membuktikan kewujudan Tuhan? Ada apa-apakah yang boleh dibelah untuk menunjukkan keberadaan Tuhan? Dan kalau agama, rasul dan kitab suci itu sebagai jalan yang menunjukkan adanya Tuhan, bagaimana bentuk dan kekuasaannya berbeza mengikut budaya, agama dan lokasi ajaran di sebarkan? Adakah hanya satu atau beribu-ribu Tuhan yang ada?

Murid: Bagaimana dengan fikiran? Mampukah Tuan Guru menunjukkan di mana buah fikiran kita berada?

Guru: Cuba kamu lihat diri kamu sendiri. Jika kamu tidak mempunyai fikiran, mampukah kamu memberikan soalan kepada saya? Adakah sekian banyak tugasan yang kamu selesaikan gagal membuktikan kewujudan fikiran kamu? Hal ini serupa juga kalau dibandingkan dengan roh kita. Kehidupan itu sendiri sudah membuktikan kewujudan roh walaupun mungkin berbeza-beza pengalaman hidupnya.

Murid: Kau...... Kau atheist!

. . . . . . . . . .

Soalan:

1. Adakah sesuai membuktikan kewujudan Tuhan melalui perbandingan dengan ciptaan-Nya?

2. Adakah Tuhan perlu dibuktikan kepada pancaindera manusia barulah manusia mampu menerima kewujudan-Nya?

. . . . . . . . . .

Tamat


Khamis, 3 April 2014

Tulis


Kalau aku menulis 

untuk kau baca

Aku menulis

apa yang kau suka

bukan menulis

apa yang aku rasa.


Kalau aku menulis

untuk wang dan nama

Aku menulis

hanya yang palsu semata-mata

bukan menulis

atas nama kebenaran

yang sebenar-benarnya.


-tamat-

Ingin Jadi Charizard.



Pedulikan tuan yang menjadi sahabat erat.

Buat semuanya yang mahu dibuat.


Pancarkan api semangat

Langgar aturan yang disemat


Siapa kau menjamin jadi juruselamat

Kalau aku sendiri sudah menjadi yang terkuat!


-tamat-

Selasa, 1 April 2014

Tangis.


Hari ini aku menangis

Hari esok biar pupus seluruh titis.


Tangis

Titis

Menangis

Menitis


Pergi kau beban yang tak tertanggung.

Pergi kau terbang ke dunia tanpa penghujung!


-tamat-