Perlahan-lahan jari Farid dilepaskan. Elen geram. Pendapatnya ditolak mentah-mentah. Permintaannya bukan besar mana. Cuma dia mahu kebahagiaan bersama Farid berkekalan walaupun di luar usia.
'Elie, merajuk lagi? Baru je pujuk tadi.'
'Mestilah. Abang pentingkan diri. Abang taksub dengan pelbagai teori.'
Baru sahaja Farid memujuk Elie setelah tidak bertegur sapa selama setengah hari. Siksa sungguh Farid melihat Elie jadi begini.
'Abang tak pentingkan diri. Cuma abang nak lebih mengenali diri. Hidup kita sentiasa tak pasti.'
'Ah. Abang tu. Pantang terlebih tahu sikit, mulalah nak mengkaji-kaji.'
Bilik tidur terasa berbahang walaupun aircond sudah terpasang. Suhu yang sejuk tiba-tiba meningkat melebihi takat didih air yang di jerang.
'Abang, saya cuma nak kita bahagia selama-lamanya. Bukan sekadar bergembira sehingga ke akhir usia. Saya nak kita bersama-sama melangkah ke pintu syurga.'
'Eh.. takpe ke abang masuk syurga? Kalau dalam Islam, ada lapan lagi bidadari yang menanti abang...'
'Abang!!!...'
Katil bergoyang-goyang. Elen bangun meninggalkan Farid duduk seorang-seorang. Marahnya tak hilang. Respon Farid membuatkan Elen bertambah bengang. Elen kemudian menoleh ke belakang.
'Abang! Janganlah buat bodoh bila saya bengang!'
Menyirap darah Elen. Dia melihat Farid kembali melelapkan mata sambil memeluk bantal tidurnya.
'Bau bantal ni macam bau awaklah. Ini pun dah cukup jadi pengganti orang yang tengah bengang sekarang.'
'Abanggg!!!...'
Elen semakin bengang. Suhu badannya melebihi suhu mentari yang bersinar terang. Mukanya merah padam. Dilontarnya selimut dan bantal tepat pada muka Farid yang tidur-tidur ayam.
'Ambik ni. Pergi tidur dekat luar!'
'Eh... apa salah abang? Takkan abang nak tidur luar sorang-sorang? Sunyi tau takde orang teman.'
'Abang bawak sekali bantal saya tu. Nak sangat pengganti saya kan? Nak sangat bidadari syurga yang lapan tu kan?'
Farid bangun. Dengan lemah longlai, dikutipnya bantal dan cadar yang bertaburan.
'Saya takut awak sejuk tidur bila sorang-sorang. Jangan la suruh abang tidur dekat depan. Kalau nak jugak, jum temankan abang. Boleh kita pegang-pegang.'
Pintu bilik dibuka. Elen menolak Farid keluar dari bilik tidur mereka.
'Nah rasakan! Ini makan dia bila saya jadi garang!'
'Elen, janganlah ini macam....'
Gurauan Farid tak diendahkan.
'Paaaang!' Pintu bilik dihempas sekuat-sekuatnya....
Suasana mesra yang tidak sampai pun sejam tiba-tiba bertukar tegang. Farid pun ingat-ingat lupa kenapa tiba-tiba Elen bertukar menjadi singa.
'Apalah agaknya yang aku atau dia tersalah faham?'
Semasa menuruni tangga, Farid terlihat sebuah buku yang bertajuk Sejarah Tuhan karangan Karen Armstrong yang diletakkan di atas rak buku bersebelahan. Farid terus teringat punca suasana yang romantis tadi berubah menjadi tegang.
. . . . . . . . .
'Sayang.. abang ingat nak belajar agamalah.'
'Baguslah... boleh bimbing saya dan seluruh keturunan.'
'Eh... tapi abang bukan nak belajar agama Islam. Abang nak belajar agama-agama selain Islam.'
'Kenapa pulak nak belajar selain Islam? Abang dah buang tebiat ke apa?'
'Bukan apa sayang, dah ramai sangat yang jadi pakar agama kita. Abang ingat nak jadi pakar agama orang.'
'Abang ni, ramai orang bukan Islam nak belajar pasal Islam, abang pulak nak belajar ajaran bukan Islam.'
'Apa salahnya abang nak belajar agama orang? Bukankah mudah kita nak memahami pendirian yang bertentangan?'
'Abang dah mula balik... Semalam mati-mati abang pertahankan sekularisme, hari ni pulak abang nak belajar agama selain Islam. Abang tak takut terkeluar daripada batas kepercayaan kita ke abang?'
'Abang cuma nak belajar agama... bukan tukar agama...'
Pelukan erat semakin renggang. Elen mula menjauhkan diri perlahan-lahan. Tangan Farid dialihkan.
'Ah... Betullah cakap kawan-kawan saya. Freethinker rupanya abang. Kawan-kawan abang sendiri pun mengelarkan abang sebagai Atheist yang berfahaman songsang!'
Farid faham yang isterinya tak faham. Mana taknya, sebagai anak gadis yang dilahirkan dalam keluarga yang kuat dalam pegangan agama Islam serta aktif dalam pertubuhan Islam di universiti, agak sukar baginya menerima fahaman yang di luar lingkungan Islam sebagai salah satu pegangan yang benar dan membenarkan.
Farid juga faham, isterinya sangat-sangat menyayangi dia. Elen tak sanggup perkahwinan ini dipisahkan hanya kerana semata-mata berlainan kepercayaan.
'Harlina.. dengar cakap abang.'
Farid mengeraskan sedikit suara. Jarang benar dia berkeras dengan isterinya dan memanggil dia dengan nama sebenar.
Ramai juga yang bertanya, kenapa Elen? Kenapa Farid tidak memanggil Harlina sebagai 'Lina'. Elen dan kemudiannya Elie adalah nama manja semata-mata. Nama manja itupun sebenarnya berasal dari perkataan Helena.
Farid berkata nama itu disebut-sebutnya kerana bunyi yang hampir serupa dan kerana dia begitu meminati lagu Helena dendangan My Chemical Romance.
Namun Harlina dan orang lain tak tahu. Nama Helena itu berasal daripada nama St. Helena, ibu kepada Constantine the Great, salah seorang figur utama dalam kristianisasi Empayar Rom. Nama itu melekat di ruang fikirnya kerana dia bertentang mata buat kali pertama dengan Harlina sewaktu meminjam sebuah buku yang berkaitan dengan santo-santo Kristian di perpustakaan.
'Saya cuma risau abang tersesat sahaja. Iman kita pun taklah berapa kuat. Kalau tersilap, habis nikmat Islam kita diangkat......'
'Elie, pernahkah terfikir kenapa kita lebih mulia daripada malaikat dan sekalian ciptaan di seluruh alam?'
'Entah. Eh... abang jangan nak lari topik pulak!'
'Sebabnya, kita satu-satunya ciptaan Tuhan yang diberi peluang untuk membuat pilihan. Ini sebabnya abang hendak belajar agama orang. Abang hendak faham kenapa setiap orang memilih untuk percaya kepada tafsiran-tafsiran yang berbeza tentang Tuhan.'
'Jadi abang nak cakap kita bebas memilih jalan mana untuk mencari Tuhan? Dah mulalah tu. Mulalah nak berfalsafah pulak! Malas nak layan abang!'
Jari-jemari Elen dilonggarkan.
. . . . . . . . . . . .
Farid kembali ke alam sedar.
'Hmm, patutlah kawan-kawan aku gelarkan perkahwinan aku dan dia sebagai perkahwinan Farid Nietzsche dan Elie Shariati. Hal macam ni pun boleh gaduh besar.'
Farid ketawa seorang. Dia yakin, tak sampai pukul dua belas nanti, api yang marak tadi akan terpadam sendiri.