Khamis, 21 Ogos 2014

Perbandingan.

Apa masalahnya dengan perbandingan agama?

        Pertama sekali, terma perbandingan itu sendiri yang mendatangkan masalah. Kepelbagaian gaya pemikiran dan tafsiran manusia terhadap Tuhan dan penciptaan alam tidak dapat difahami jika kepelbagaian tersebut dimusuhi dan dibanding-bandingkan. Perkataan 'perbandingan' menunjukkan konotasi negatif seperti  membeza-bezakan antara yang baik dan yang buruk. Sebagai contoh, perbandingan di antara Buddhism dan Kristian akan menyebabkan timbul isu yang mana lebih logik dan yang mana lebih diterima Tuhan.

        Isu mana yang lebih baik dan mana yang lebih buruk tidak sepatutnya timbul dalam perbincangan tentang agama-agama. Perbezaan dan persamaan sepatutnya diterima secara bersama tanpa perlu menegaskan akan tinggi rendah atau betul salah mana-mana set pemikiran yang sudah jelas berbeza dan mungkin berkonflik antara satu sama lain. Jika benar apa yang bertentangan dengan agama sendiri itu salah, itu hanyalah mengikut pandangan kita sebagai bukan penganut agama itu semata-mata. Selagi tidak ada unsur-unsur paksaan atau merendahkan-rendahkan antara satu sama lain, sudah pasti iri hati, salah faham dan perasaan superior dapat dibendung dan kita dapat hidup secara bersama.

        Kedua, kehidupan beragama merupakan gaya hidup utama kebanyakan manusia di dunia. Setiap manusia atau bangsa dikenali dan dihubungkan dengan agama yang mempengaruhi sedikit sebanyak hukum adat dan ciri-ciri kebudayaan mereka. Membandingkan antara dua gaya fikir atau dua gaya hidup yang berbeza adalah tidak tepat kerana kedua-duanya muncul dan berkembang di dalam keadaan dan suasana yang cukup berbeza. Contohnya, membandingkan antara adat dan kebudayaan masyarakat yang tinggal di gurun dan masyarakat yang tinggal di hutan belantara sudah pasti akan menonjolkan lebih banyak perbezaan daripada persamaan.

        Kebanyakan agama akan mengambil elemen-elemen kepercayaan masyarakat yang dominan di dalam agama tersebut. Agama Islam sebagai contoh, mempunyai begitu banyak elemen-elemen kebudayaan Arab yang kebanyakannya tidak universal dan tidak wujud di dalam masyarakat lain yang turut beragama Islam. Agama Buddha pula dipengaruhi dengan kebudayaan dan adat istiadat Cina jika penganutnya orang Cina, kebudayaan dan adat istiadat Jepun jika penganutnya orang Jepun, dan begitulah seterusnya jika penganutnya orang Vietnam, Myanmar, Thailand, Laos, Bhutan, Tibet, Sri Lanka dan sebagainya. Agama Hindu di India dan kepulauan Bali juga jelas perbezaannya kerana Hinduism di India dipengaruhi unsur-unsur India dan Hinduism di kepulauan Bali dipengaruhi unsur-unsur Jawa dan Nusantara.

        Daripada contoh di atas, dapat dilihat bahawa perbezaan tidak sahaja dapat dilihat antara agama, bahkan di antara masyarakat yang mengamalkan agama tersebut. Jadi, untuk membandingkan agama adalah perkara yang sangat sukar kerana sifat agama tersebut yang berubah-rubah mengikut geografi dan sosio-budaya serta ketaksuban pengikut-pengikut kepada sesetengah tokoh atau aliran agama. Dan jika perbezaan yang digembar-gemburkan, tidak mustahil akan timbul perbalahan dan permusuhan antara sesama rakyat Malaysia dan masyarakat dunia.

        Ketiga, mana-mana agama seharusnya difahami berdasarkan sumber-sumber yang berasal daripada agama tersebut. Setiap agama membicarakan secara tersendiri bagaimana aspek-aspek seperti Tuhan, Hidup, Mati, Dosa, Pahala dan sebagainya. Sebagai contoh, agama Islam menitikberatkan elemen keesaan Tuhan sebagai unsur utama di dalam ajarannya. Tetapi, Buddhism tidak menitikberatkan elemen ketuhanan walaupun kewujudanNya tidak dinafikan di dalam ajaran itu. Buddhism lebih menitikberatkan tentang bagaimana manusia mahu melepaskan diri dari belenggu kesengsaraan dan bagaimana manusia mampu memperoleh kebahagiaan di dunia yang sementara.

       Kegagalan untuk memahami sumber-sumber yang berasal dari agama tersebut mungkin akan menyebabkan salah faham yang lebih mendalam. Sebagai contoh, A yang beragama Islam mungkin akan menuduh B yang beragama Buddha sebagai orang yang tidak bertuhan atau sebagai orang yang menyembah patung. Hal ini kerana, konsep agama Buddha tidak difahami oleh orang Islam tersebut dan dia gagal untuk mendapat maklumat mengenai sejarah Buddha dan perkembangan falsafah/agama Buddha secara menyeluruh.

       Keharmonian dalam kehidupan beragama dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum sewajarnya dipupuk melalui pemahaman dan bukan perbandingan. Sikap membanding-bandingkan ajaran agama amat berbahaya terutamanya dalam kalangan masyarakat majmuk yang berbeza agama dan budayanya. Hal ini kerana sifat meninggi diri mungkin timbul dan akan wujud pihak-pihak yang direndah-rendahkan sehingga menjejaskan hak mereka untuk hidup tanpa diskriminasi.

 
Tamat.