Selasa, 9 September 2014

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia


'Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain.'

UIAM atau Universiti Islam Antarabangsa Malaysia bukan institusi yang asing kepada aku. Sejak daripada peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah sehinggalah Sijil Pelajaran Malaysia, boleh dikatakan setiap tahun aku bermain di perkarangan universiti ini atas alasan menghadiri ceramah motivasi dan kursus menjawab peperiksaan.

Kali pertama aku memasuki universiti ini (tahun 2002), aku di bawa bersiar-siar di bangunan Kuliyyah Undang-undang dan Kuliyyah Sains Kemanusiaan. Melihat-lihat persekitaran UIAM yang agak indah membuatkan aku bersemangat untuk belajar. Namun UIAM bukanlah salah satu pilihannya. Apabila memasuki sekolah menengah (tahun 2004, 2005, 2006), bangunan di Kuliyyah Kejuruteraan menjadi tempat aku bertandang.

Semasa di bangku sekolah rendah dan sekolah menengah, aku tidak pernah menyangka akan memasuki universiti ini sebagai salah seorang pelajarnya. Hendak mendaftar sebagai siswa pun tak pernah berangan inikan pula memasuki universiti ini sebagai seorang pelajar jurusan undang-undang. Walaupun begitu, aku masih lagi berlegar-legar di dalam universiti ini, terutamanya setelah kakakku diterima sebagai pelajar Kesusasteraan Inggeris.

Tahun 2009 menyingkap tirainya dengan keputusan UPU yang menyambung jalan ceritaku di universiti ini. Aku diterima memasuki universiti ini sebagai salah seorang pelajar undang-undang. Aku sedikit kecewa sebenarnya. Aku lebih berminat untuk menyambung pelajaran di dalam jurusan Sejarah dan Ketamadunan serta Sains Politik. Namun, sedikit sebanyak perasaan kecewaku hilang apabila diberitahu bahawa jurusan undang-undang merupakan jurusan yang laku di pasaran pekerjaan dan amat tinggi taraf dan darjatnya.

Dan perjalanan ku di UIAM akhirnya berakhir pada tahun 2014. Di sebalik pelbagai cabaran dan rintangan, akhirnya aku berjaya menamatkan pelajaran di sini. Tidak pernah aku menyangka aku akan berjaya menamatkan pelajaran tanpa menukar jurusan walaupun usaha telah pun dilakukan selama 3 tahun kebelakangan. Mengapa dan bagaimana aku menukar fikiran? Selepas ini akan aku jelaskan.

. . . . . . . . .

Apa sebenarnya yang aku pelajari di sebuah Universiti Islam?

1. Yakin boleh!

Mempelajari satu bidang yang tidak diminati adalah satu penyeksaan. Undang-undang bukanlah jurusan yang menarik pada pandanganku. Hal ini kerana, undang-undang adalah salah satu bidang yang agak sukar untuk difahami. Ditambah pula dengan medium utama pengajian di dalam bahasa Inggeris, hatiku meronta-ronta untuk keluar dan menukar jurusan. 'Sekurang-kurangnya, aku nak belajar satu subjek yang tidak terlalu beku dan tepu.' Itu fikirku.

Lagi satu, disebabkan terlalu banyak pembentangan dan aktiviti berkumpulan seperti 'Mock Trial' dan 'Mooting', aku menjadi sangat tidak selesa. Namun syukur, semuanya dapat ditempuhi dan aku tidak lagi berasa malu atau segan bercerita atau bergurau senda di hadapan orang ramai. Akhirnya aku berjaya menghabiskan pengajian.

2. Perbezaan pandangan.

Sepanjang aku berada di alam persekolahan, aku tidak terlalu didedahkan dengan perbezaan fahaman seperti ideologi politik, mazhab ugama dan pergerakan Islam. Namun, di Universiti Islam Antarabangsa, perkara-perkara ini begitu subur berkembang dan beranak pinak. Bayangkan, antara kawan-kawan rapatku sendiri, ada yang merupakan aktivis parti pembangkang dan orang kuat pergerakan Islam. Pernah juga berlaku pertikaian, namun air yang dicincang tidak akan putus. Kami berjaya juga bersama-sama menamatkan pengajian.

Perbezaan mazhab dan fahaman amat membingungkan. Aku sejak kecil dididik dengan kefahaman bahawa semua umat Islam adalah bersaudara. Tetapi, di universiti ini, kegiatan menyesatkan dan menyingkirkan orang lain yang berlainan fahaman adalah satu kebiasaan. Yang paling mengetuk pemikiran, ada pelajar yang 'berkopiah' sanggup menentang kata-kata gurunya selepas waktu kelas semata-mata untuk membela alirannya. Pilihan raya kampus pula dengan jelas menonjolkan pemikiran bahawa perbezaan kumpulan merupakan penghalang utama kesamaan tujuan.

3. Khazanah ilmuan.

Perpustakaan bukan tempat aku selalu meluangkan masa senggang. Tetapi pelbagai khazanah yang terselindung di sebalik rak-rak yang begitu jarang dikunjungi orang menarik aku untuk datang setiap hari. Buku-buku yang tidak pernah aku baca genrenya seperti agama, bahasa dan falsafah menggantikan naskah-naskah politik, sejarah dan buku teks yang tidak pernah lekang diamati isinya.

Yang paling utama, bacaan-bacaan di Baitul Hikmah amat mencabar pemikiran para pembacanya. Isi-isinya amat jarang sekali dibincangkan secara formal. Apatah lagi, sebagai pelajar undang-undang, fokus bacaan hanyalah kepada buku rujukan dan kes-kes yang dilaporkan.

Bukanlah hendak mengatakan membaca buku undang-undang sahaja adalah tidak bagus, tetapi bagi aku yang merupakan seorang pemberontak, tidak pernah akan puas dengan hanya satu cabang ilmu sahaja. Aku sangat suka mempelbagaikan bahan bacaan kerana setiap bidang mempunyai hubung kaitnya yang hanya dapat dilihat jika kita mempunyai pengetahuan yang luas dan tidak terhad.

Kenapa pemberontak? Aku tak pernah kekal dengan satu aliran. Bermula dengan sains, aku berubah dan melawan arus menuju sejarah, undang-undang, agama dan sebagainya.....

4. Pengetahuan am.

Kekecewaan di dalam memilih jurusan masih tidak hilang biarpun sudah separuh jalan. Namun aku tidak berputus asa. Aku membuat keputusan untuk terus menambah ilmu pengetahuan biarpun tanpa pengiktirafan institusi pengajian. Aku tetap menampah pengetahuan di dalam bidang sejarah. Setiap buku-buku yang berunsurkan sejarah di beli atau di pinjam daripada universiti. Kemudian, aku mula mengkaji mazhab-mazhab agama melalui pelbagai sumber bacaan dan talian.

Namun, yang mengubah pemikiran aku secara keseluruhan ialah apabila aku mula mempelajari bahasa Jepun secara sendiri-sendiri. Dalam masa setahun, aku mampu untuk memahami prinsip-prinsip asas bahasa ini tanpa diajar oleh sesiapa pun. Bahasa Jepun mula mendedahkan aku kepada agama-agama masyarakat Jepun. Shintoism dan Zen Buddhism menjadi tumpuan utama. Lama-kelamaan, minatku mula bercambah kepada ilmu falsafah dan perbandingan agama.

Aku mula selesa dengan perkembangan ini. Undang-undang aku anggap hanya sebagai 'part time'. Bidang-bidang lain diberi tumpuan secara 'full time' walaupun tidak sistematik dan tidak diiktiraf oleh pakar dan ilmuwan.

5. Gadis Melayu yang rupawan.

Apa sebenarnya yang terjadi? Oh rupa-rupanya ramai juga gadis Melayu yang rupawan. Kena pandai cari dan umpan. Tapi aku bukan seorang buayawan.

6. Sifat orang hebat dan terkenal.

Guru-guruku di sini bukan calang-calang. Mereka selalu tampil di kaca televisyen dan menulis di akhbar-akhbar. Pendapat mereka juga diterima dan menjadi standard kepada perubahan di dalam negara. Namun, di sebalik kehebatan dan gahnya nama mereka, mereka tetap seorang yang gigih mengajar dan ramah kepada anak murid mereka. Perkara ini mengubah pandangan aku kepada orang-orang yang hebat. Orang-orang yang hebat bukan hebat kerana namanya, tetapi kehebatannya diukur melalui ilmunya dan kelakuannya kepada orang-orang disekelilingnya.

Apabila pelajar dah sayang, jika guru dikenakan tindakan pun, para pelajar sanggup merisikokan diri mereka untuk menegakkan keadilan kepada mereka. Hal ini dapat dilihat semasa peristiwa Prof. Aziz Bari dipecat kerana mengkritik institusi beraja.

7. Antarabangsa!

Pelajar-pelajar UIAM terdiri daripada pelbagai bangsa. Sifat 'perkauman' memang ada. Cuma masing-masing mampu untuk mengawalnya. Yang ajaibnya ialah, kegigihan pelajar-pelajar antarabangsa ini sesuatu yang patut dicontohi oleh orang Malaysia. Mereka berasal daripada negara yang hancur akibat perang. Tetapi mereka masih gigih menuntut ilmu dengan harapan dapat mengubah diri mereka dan membangunkan negara mereka. Mereka juga tidak segan-segan untuk bergaul dengan masyarakat tempatan. Cuma masyarakat tempatan termasuk aku  yang segan.

Namun ada juga sifat-sifat mereka (termasuk orang tempatan) yang dapat dilihat sebagai antara punca mengapa umat Islam begitu sukar untuk hidup bersama masyarakat lain di dalam keharmonian. Apa contoh sifat-sifatnya? Datang dan lihat sendiri dengan mata kepala.

8. Minat kepada bahasa.

Aku lemah bahasa Inggeris. Namun berkat penggunaan bahasa Inggeris secara meluas di universiti, sekarang aku semakin berminat untuk menguasai bahasa itu. Apabila melihat rakan-rakan begitu fasih berbahasa Inggeris, aku semakin bersemangat untuk belajar bahasa. Aku mula membaca bahan bacaan berbahasa Inggeris lebih daripada bahan bacaan berbahasa Melayu. Aku juga mula belajar bahasa Jepun. Walaupun masih tidak fasih, aku tetap akan mencuba. Sekarang aku mula berminat dengan bahasa Korea. Masih lagi merangkak-rangkak menguasai sistem tulisannya.

Mengapa penguasaan bahasa amat penting kepada aku? Melalui penguasaan bahasa asing, aku mula menghargai perbezaan dalam kalangan masyarakat dunia. Aku mula faham bahawa tiada satu sistem yang sempurna yang dapat mengikat semua manusia. Setiap manusia perlu saling faham-memahami. Dominasi sepatutnya tidak wujud kerana Tuhan menciptakan manusia untuk saling berkenal-kenalan dan bukan untuk saling takluk menakluk sesama sendiri.

. . . . . . . . .

Ini merupakan antara pengalaman berharga yang aku perolehi semasa zaman pengajian di universiti. UIAM menyembunyikan banyak hikmah sebenarnya. Segalanya perlu dinilai dengan fikiran yang terbuka. Jangan rasa begitu selesa dengan keadaan sekarang. Kepada yang baru masuk universiti, manfaatkan masa di situ. Jangan asyik main DOTA macam abang sayang. Hahaha...

Sekian.