Bayangkan, melalui sebuah buku, manusia mampu berkomunikasi dengan generasi terdahulu. Penulis buku mungkin telah meninggal dunia, namun idea dan pandangannya terus hidup dalam kalangan anak cucunya.
Penciptaan mesin cetak telah menggalakkan penulisan dan penerbitan karya-karya agung di seluruh dunia. Umat manusia, tanpa mengira bangsa, bahasa, kepercayaan agama dan ideologi politik bersama-sama menyuarakan pendapat mereka tentang hampir segala-galanya.
Oleh itu, seharusnya kita semua bersama-sama memanfaatkan peluang yang cukup indah selagi kita masih belum menutup mata untuk menikmati cetusan idea dan perspektif yang berbeza tentang manusia dan interaksinya dengan alam semesta.
Di sini saya ingin berkongsi 10 karya yang mengubah pandangan saya tentang dunia dan segala isinya:
1. Tao Te Ching:
Merupakan karya agung seorang ahli falsafah China, Lao Tzu. Lao Tzu dengan bijaksananya memerihalkan tentang kewujudan sebuah kuasa yang mengatur perjalanan dunia. Kuasa itu tidak dianggap sebagai Tuhan atau Dewa bahkan tidak dikenal akan namanya. Melalui karya ini, Lao Tzu turut menerangkan bagaimana manusia perlu sentiasa bersikap sederhana dan fleksibel dalam setiap aspek kehidupan.
Tao Te Ching merupakan karya genius yang membuka mata tentang alam dan bagaimana manusia berbeza dalam mentafsirkan tentang interaksi antara manusia dengan alam sekelilingnya.
2. Japanese Death Poems (Written by Zen Monks and Haiku Poets at the Verge of Death)
Merupakan karya seorang pengkaji Barat bernama Yoel Hoffman di Universiti Kyoto. Karya ini mendedahkan pembaca tentang jenis-jenis puisi orang Jepun, fahaman dan kepercayaan masyarakat di sana serta pandangan orang Jepun tentang kehidupan dan kematian.Karya ini memberi pengenalan kepada pembaca tentang Haiku, Tanka, Buddhism, Taoism, Shintoism dan elemen alam yang mempengaruhi masyarakat Negara Matahari Terbit.
Japanese Death Poems mengubah pandangan manusia mengenai kematian dan kepentingan masa sekarang berbanding dengan masa lepas dan masa hadapan. Karya ini juga mendedahkan tentang keharmonian yang sepatutnya perlu dipupuk dalam kalangan masyarakat yang menganuti pelbagai agama dan mazhab agama.
3. Silence:
Sebuah novel yang mengisahkan tentang penyebaran ajaran Kristian di Jepun. Berlatarbelakang negara Jepun zaman Keshogunan Tokugawa, penulisnya Shusaku Endo memerihalkan keadaan masyarakat Kristian Jepun yang dimusuhi oleh kerajaan yang memerintah. Di dalam novel ini, seorang paderi dari Portugal mengembara ke Jepun untuk menyelidik ura-ura bahawa gurunya telah murtad dan bersama-sama dengan kerajaan Jepun dalam menghalang dan menghapuskan penduduk Kristian.
Silence menonjolkan kekuatan manusia mempertahankan kepercayaan agama. Agama menjadi salah satu pemangkin untuk meneruskan kehidupan di dalam kesengsaraan. Karya ini juga memaparkan pertanyaan kepada Tuhan tentang sifat 'senyap'nya semasa penyembahnya disiksa dan dizalimi semasa mempertahankan diri-Nya.
4. The Way of Zen:
Alan Watts merupakan seorang pengkaji dari Barat yang mendalami secara khusus tiga agama utama di benua India dan Asia Timur. Namun, karyanya ini lebih memberi pengkhususan kepada Zen, salah satu kepercayaan masyarakat Asia Timur hasil kacukan ajaran Hinduism, Buddhism dan Taoism. Karya ini juga menceritakan tentang sifat masyarakat Asia Timur yang sememangnya terbuka tentang agama dan mementingkan sifat saling menghormati sesama penganut agama.
Penonjolan pelbagai agama di dalam satu karya membuat kita lebih menghargai perbezaan pegangan dan kepercayaan manusia. Seandainya manusia menghapuskan dominasi dan menggalakkan integrasi, keharmonian hidup beragama akan lebih memberi manfaat kepada kehidupan manusia.
5. The Picture of Dorian Gray:
The Picture of Dorian Gray merupakan novel tunggal karyawan Irish yang bernama Oscar Wilde. Oscar Wilde lebih dikenali sebagai penulis teater dan puisi. Namun, dia tidak mahu ketinggalan memberikan pandangannya tentang bagaimana manusia perlu menghadapi kehidupan di dunia yang penuh dugaan dan cabaran. Dorian yang merupakan seorang yang berstatus tinggi di dalam masyarakatnya diduga dengan pelbagai nikmat dunia sehingga menyebabkan kejatuhannya.
Penggunaan bahasa yang sinis serta berbunga-bunga menjadi daya penarik kepada karya ini. Amat sesuai untuk dibaca kerana mendedahkan tentang kebejatan hidup golongan bangsawan yang sentiasa bersenang-lenang.
6. Temple of Golden Pavilion:
Mengisahkan tentang konflik di antara nilai-nilai tradisi dengan kemodenan ala-Amerika di Jepun selepas Perang Dunia Kedua. Gangguan emosi yang dihadapi oleh watak utama yang juga merupakan seorang pelatih sami mencetuskan keberanian untuk membakar 'Temple of Golden Pavilion', salah satu mercu tanda tradisi Jepun. Seorang sami dan aktiviti membakar tokong tempatnya berkhidmat. Aneh bukan?
Karya ini menekankan tentang perubahan yang terpaksa dihadapi oleh orang Jepun setelah kalah Perang Dunia Kedua. Kemodenan ala-Amerika didakwa menjadi penyebab keruntuhan moral dan maruah orang Jepun.
7. Arthur Schopenhauer, Essays and Aphorisms
Schopenhauer merupakan salah seorang ahli falsafah yang agung pada abad ke-19. Beliau percaya bahawa tindakan manusia ditentukan bukan oleh 'reason' tetapi oleh 'will' atau keinginan manusia untuk terus wujud. Karya ini memetik tulisan Schopenhauer di dalam buku terakhirnya, 'Parerga and Paralipomena'. Tulisannya menggambarkan keadaan manusia yang sentiasa diikat oleh persaingan diantara kebaikan dan kejahatan. Schopenhauer percaya di dalam dunia yang tidak lagi mengiktiraf kewujudan Tuhan, kesenian, moraliti dan kesedaran kendiri merupakan antara jalan penyelesaian.
Sebab baca? Pessimism, Nietzsche, dan Buddhism.
8. An Introduction to Zen Buddhism:
Tiga perkataan. Zen, Buddhism, dan Taoism.
9. Essential Rumi:
Coleman Barks menghimpun karya-karya Jalaludin Rumi yang diberikan tafsiran dan interpretasi yang lebih mudah difahami. Essential Rumi menonjolkan keindahan dunia puisi. Puisi merupakan elemen utama dalam mengungkapkan perasaan cinta yang tidak mampu diucapkan dengan kata-kata.
Bagaimana kewujudan Pencipta disembunyikan di antara bait-bait kata-kata?
10. The Tale of Murasaki:
Liza Dalby dengan jayanya menghidupkan semula zaman kegemilangan puisi pada era-Heian. Puisi memainkan peranan utama di dalam menyampaikan perasaan cinta kepada manusia dan alam semesta. Karya ini juga menonjolkan kepekaan masyarakat Jepun di dalam menghargai perubahan musim di dalam setahun serta pelbagai ritual dan perayaan yang diadakan untuk menyambutnya yang kekal sehingga zaman moden.
Kebijaksanaan tamadun Jepun dalam mencontohi tamadun yang lain (negara China) tanpa perlu mengorbankan jati diri negara, bangsa dan bahasa.
Banyak lagi sebenarnya. Buku-buku sejarah, novel grafik, majalah fotografi dan bahasa-bahasa macam tak muat nak masukkan. Lagipun penat nak rumuskan beribu-ribu muka surat sekali jalan. Tujuan utama pun nak beritahu karya yang paling mengubah pemikiran.
Akhir sekali, galakkan minat membaca. Sekarang manusia dihadiahkan dengan ledakan maklumat yang sangat hebat. Manfaatkan setiap masa yang terluang dengan membaca supaya kita boleh memahami tujuan kewujudan kita dan pelbagai lagi cerita-cerita tentang alam dan manusia.
Yang sangat-sangat penting, kita tidak akan sekali-kali menipu, tertipu dan ditipu oleh sesiapa.
Tamat.