Jumaat, 12 September 2014

Faridah

'Cik, saya ada temuduga hari ini.'

'Temuduga? Sila isi borang ni dulu. Ada pen?'

'Ada.'

'Tulis dekat sana ye.'

Aku ditunjukkan sebuah meja dan empat buah kerusi yang terletak di sudut kiri lobi Institut Terjemahan dan Buku Kebangsaan. Pada waktu itu, hanya ada aku dan seorang pegawai yang berada di situ. Kelibat orang lain tidak kelihatan.

'Nampaknya seorang dirilah aku ditemuduga hari ni.' Aku berkata-kata dalam hati.

. . . . . . . . . .

'Hai. Selamat pagi. Datang temuduga jugak ke?' Tiba-tiba aku di sapa.

'Ya.' Ringkas aku menjawab. Kelihatan seorang gadis berbaju kurung hitam dan putih mendekati meja tempat aku menulis.

'Saya baru habis isi borang. Nak duduk sorang-sorang rasa bosan pulak.'

'Siapa dia? Tiba-tiba je tegur aku? Tapi nasib baik gadis manis.' Aku berbisik di dalam hati

'Bosan? Takpe lah. Duduk sebelah saya. Lagipun saya sorang je ni.' Aku pun mempelawa dia untuk duduk bersama.

. . . . . . . . .

Hairan. Rasanya tiada orang lain yang aku nampak dekat sini tadi. Mana datangnya dia ni?

'Emm... takpelah. Pegawai tadi suruh saya naik dulu. Nanti dekat atas nanti kita jumpa ye.'

Aku melihat wajah gadis tadi. Rasa-rasanya wajah dia macam sama rupanya dengan seseorang yang aku kenal dahulukala.

'Kalau macam tu, dipersilakan naik dulu. Saya tak siap isi borang ni lagi.'

'Ok... '

Gadis tadi menghilang di sebalik pintu lif. Selepas dia naik ke tingkat atas, dua orang lelaki berpakaian hitam putih tiba di lobi.

'Datang temuduga jugak kot.' Aku berkata di dalam hati.

Namun, ketibaan dua orang lelaki tadi tidak menghalang aku daripada terus memikirkan tentang gadis tadi.

. . . . . . . . . . . .

'Cik. Saya dah siap isi borang.'

'Ok. Kalau macam tu, bolehlah naik ke atas. Naik ke tingkat satu ye.'

'Baik.'

Aku pun menuju ke arah pintu lif dalam keadaan tertanya-tanya.

'Wajah siapa yang mirip sangat dengan dia ye?'

. . . . . . . . . . . .

Pintu lif terbuka. Aku tiba di suatu ruangan kosongdi hadapan pejabat sumber manusia. Ada empat buah sofa di situ. Kelihatan gadis tadi duduk seorang diri di atas salah satu sofa tersebut.

'Dah kena panggil?' Aku memulakan bicara. Segan juga sebenarnya. Tapi, kerana tidak mahu dikatakan kera sumbang dan bodoh sombong, aku cuba juga menegur gadis itu.

'Belum lagi. Pegawai temuduga suruh tunggu semua sampai.'

'Semua? Berapa orang sebenarnya yang kena temuduga hari ini?'

'Staf tadi kata ada empat orang. Maknanya, ada dua orang lagi selepas saya dengan awak.'

'Oh... jadi yang baru sampai tadi pun memang calon temuduga rupanya.'

'Laki-laki atau perempuan yang baru sampai tadi?'

'Dua-dua lelaki.'

'Hmm...'

Gadis tadi mengeluh. Mungkin dia risau tiada teman berbual agaknya.

. . . . . . . . . . .

'Belajar mana dulu?' Tiba-tiba gadis tadi bersuara.

'Universiti Islam Malaysia.' Jawab aku.

'Oh... saya dari Universiti Syariah Malaysia.'

Aku agak tersentak. 'Wah. Patutlah patuh syariah....'

'Hahaha. Takde lah. Mana ada syariah sangat.' Faridah ketawa kecil.

Ketawanya sekali lagi mengingatkan aku kepada seseorang. 'Siapa agaknya yang sebiji rupanya macam dia ni?' Persoalan ini semakin ligat bermain di fikiran aku.

. . . . . . . . . .

'Awak nak tahu tak?'

'Tahu apa?'

'Saya teringin sangat nak masuk Universiti Islam Malaysia. Tapi, takde rezeki...'

'UIM tu biasa-biasa je. Yang lebihnya cuma selalu jadi set drama cintan-cintun ala-ala Islamik je...'

'Biar betul awak ni.' Dia kembali ketawa kecil.

'Aduh.. dia ketawa lagi. Nak gugur rasanya jantung aku sekarang ni.' Aku merungut di dalam hati. Tapi rungutan ku itu bukan rungutan benci.

. . . . . . . . . .

'Hmmm.... Perasan tak, kita berborak ni dah lama... Tapi nama pun tak tau lagi.'

'Yelah..' Jawab aku. 'Saudari di sana, siapakah gerangan namanya?' Aku terus bertanya. Peluang berkenalan jangan dilepaskan.

'Saya? Kenapa saya? Awaklah beritahu nama awak dulu.'

'Awak yang tegur saya dulu. Awaklah yang kena bagi nama dulu.'

'Nama saya Faridah. Awak?'

'Nama saya Far***.'

'Dekat UIM dulu amik kos apa?'

'Saya amik undang-undang.'

'Samalah kita. Saya degree dekat USM. Tapi sekarang baru habis Master dekat universiti lain.'

Dengar saja perkataan 'Master', aku terkedu. 'Fuh, genius rupanya minah ni. Ada Master. Aku pulak ada cita-cita nak ambil Master je....' Aku bermonolog dalam hati.

. . . . . . . . . . . .

Lama jugalah aku dan dia berbual-bual bersama-sama. Lima belas minit kemudian, kami turut disertai oleh dua orang lagi calon temuduga. Rupa-rupanya mereka juga graduan undang-undang UIM. Cuma mereka habis lima tahun awal dari aku.

Perbualan semakin rancak. Daripada pengalaman belajar sehinggalah pengalaman bekerja, segala-galanya menjadi modal bercerita.

Namun, kehangatan bercerita tidak mampu menghilangkan tanda tanya yang bersarang di dalam kepala.

'Dia ni mengingatkan aku kepada siapa sebenarnya???'

. . . . . . . . . . . .

Tidak semena-mena, Faridah membetulkan kaca matanya. Terserlah keayuannya.

'Yesss!! Aku dah tau! Aku dah tau rupanya macam siapa!!!' Tiba-tiba aku mendapat pencerahan.

Hatiku melonjak keriangan. Segala macam memori silam diputar balik di dalam fikiran. Pahit manis kenangan sama-sama bertaburan.

'Ya... Mata itu. Mata itulah yang menarik aku kepadanya.' Aku teringat anak mata orang yang seiras dengan Faridah.

'Redup anak matanya seakan-akan malu dan segan. Suaranya lembut walaupun tonanya agak tajam. Gerak tangannya, hayun langkahnya, reaksi dia ketika berasingan daripada kawan-kawannya, tawa kecilnya, senyuman manisnya, semuanya sama.....'

'Memang sama. Memang sama. Memang sama dengan ......... '

. . . . . . . . . . . .

'Encik Muhammad Far***, Encik Muhammad Far***! Silakan masuk. Penemuduga dah tunggu awak.....' Kedengaran nama aku dipanggil seseorang.

Tersentak aku dari mengelamun.

'Kacau betullah! Baru je nak menghirup manisnya kenangan!'

. . . . . . . . . . . .

Tamat