Khamis, 18 September 2014

Rumiko (Versi Penuh)

Petang di Sekolah Tinggi Sakuragaoka agak meriah. Aktiviti ko-kurikulum yang dijalankan pada waktu ini mengikat para pelajar untuk terus berada di perkarangan sekolah. Namun, Rumiko agak gelisah. Adik tirinya menanti untuk dijemput di perkarangan kawasan tadikanya.

'Misaka, Nanako, aku kena balik dulu. Ada hal keluarga sikit.'

'Rumiko, takkan dah nak balik? Mesyuarat kelab pun tak mula lagi.' Marika yang baru muncul dari belakang menyapa Rumiko yang tergesa-gesa mahu keluar dari bilik kelab.

'Aku kena jemput adik tiri aku dari taman asuhan kanak-kanak. Risau nak biarkan dia balik ke rumah jalan kaki seorang diri.'

'Tak mengapalah. Kau baliklah dulu. Nanti apa-apa keputusan mesyuarat akan kami maklumkan esok dalam kelas.' Nanako, selaku presiden kelab memberi kebenaran kepada Rumiko untuk pulang.

‘Betul tu. Kau baliklah dahulu. Keselamatan adik tiri kau lebih penting.’ Sampuk Misaka.

'Shitsureishimasu.' Rumiko keluar dari bilik kelab perlahan-lahan. Sejurus sahaja dia sampai di koridor bangunan, dia pantas berlari pulang.

. . . . . . . . . .

Rumiko kehilangan ayahnya akibat kemalangan. Sudah lama dia dan ibunya hidup berdua. Namun, dua bulan yang lepas, ibu Rumiko berkahwin baru. Tetapi, ibunya berkahwin dengan seorang lelaki yang bukan berbangsa Jepun. Secara tiba-tiba, dia menerima dua orang ahli keluarga baru. Bapa tirinya telah pun mempunyai seorang anak lelaki dengan isterinya yang terdahulu.

'Menyusahkan betul. Tiba-tiba aku yang bertanggungjawab menjemput dan menghantar adik tiri aku ke taman asuhan kanak-kanak. Setiap hari macam ini.' Rumiko merungut di dalam hati. Dia tidak biasa disuruh-suruh oleh sesiapa.

Sampai di hadapan pintu tadika, kelihatan seorang budak lelaki yang berusia 5 tahun dan berkulit agak coklat menantinya di hadapan pagar. Budak lelaki itu ditemani oleh salah orang tenaga pengajar.

'Nee-chan, kocchi, kocchi.' Adik tirinya memanggil-manggil namanya.

Rumiko menuju ke hadapan pintu pagar. Setelah mengucapkan terima kasih kepada pengajar taman asuhan, dia pun memimpin adik tirinya pulang ke rumah.

'Ne..., ne.... Onee-chan, Kami sama no koto ga nanika shitteru?' Adik tirinya menarik tangan Rumiko dan bertanyakan soalan.

'Kami sama no koto? Doushite?' Rumiko hairan. Selalu benar adik tirinya bertanya soalan yang bukan-bukan. Semalam dia bertanya tentang agama. Hari ini dia bertanya tentang Tuhan.

Rumiko tidak tahu jawapannya. Dia yakin semua orang juga tidak mempunyai jawapan yang pasti tentang Tuhan. Rumiko cuba mengalih topik perbualan.

. . . . . . . . .

Makan malam Rumiko dan ibunya tidak lagi sepi seperti dahulu. Dengan kehadiran kedua-dua bapa dan adik tirinya, makan malam terasa sangat meriah. Bapa tirinya seorang yang ramah. Adik tirinya pula tidak banyak kerenah. Cuma dia memiliki sikap ingin tahu yang begitu membuak-buak tentang segala-galanya yang berada di depan mata.

'Rumiko, gakkou wa dou?' Bapa tirinya bertanyakan tentang persekolahan Rumiko.

'Gakkou wa chotto....' Persekolahan Rumiko tidak bermasalah. Namun, dia agak terganggu dengan tugas baru menjaga adik tirinya. Sejak beberapa minggu lepas, Rumiko kerap kali gagal menghadiri aktiviti Kelab Sejarah dan Geografi selepas tamat sesi persekolahan.

'Rumiko, naze desu ka?' Ibunya pula yang bertanyakan jika ada apa-apa yang tidak kena. Ibunya seakan-akan tahu ada sesuatu yang tersembunyi di lubuk hati anaknya itu....

'Iie, iie.... Gakkou wa daijoubu...' Tak sampai hati Rumiko mahu merosakkan suasana makan malam yang ceria kebelakangan ini. Dia tidak mahu dilihat sebagai seorang yang begitu mementingkan diri sehingga sanggup tidak membantu keluarganya dalam menjaga kebajikan adik tirinya.

'Yokatta....' Ibunya lega apabila Rumiko memberitahunya tiada apa-apa yang tidak elok berlaku kepadanya semasa persekolahan.

. . . . . . . . . . .

'Rumiko-chan, kore wa mama no tomodachi. Mareshia kara kimashita.' Rumiko teringat saat kali pertama ibunya memperkenalkan bapa tirinya. Pada waktu itu, dia hanyalah kawan biasa ibunya. Dia tidak menyangka bahawa lelaki itu akan menjadi bapa tirinya.

Bapa tirinya merupakan seorang pelajar sarjana di dalam bidang Falsafah dan Sejarah. Dia seorang yang kelihatan sangat asing pada pandangan Rumiko. Kulitnya tidak cerah. Wajahnya tidak kacak. Bahasa Jepunnya tergagap-gagap. Dia juga berasal dari sebuah negara tidak pernah didengari namanya oleh Rumiko. Namun, dia seorang yang beradab sopan dan begitu mengambil berat terhadap ibunya dan dirinya.

Adik tirinya pula seorang yang banyak bertanya. Setiap upacara keagamaan dan kebudayaan yang dilihat di sekelilingnya dengan segera akan ditanyakan kepada Rumiko. Selain itu, dia juga sering bertanya tentang banyak perkara yang tidak difahaminya jika dia bersama-sama dengan Rumiko.

'Mungkin tempat dia berasal tidak ada upacara keagamaan yang sebegini. Lagipun agamanya aku tidak pernah dengar. Jadi, perpindahannya dari negara asalnya ke Jepun mungkin sebab utama tercetusnya pelbagai pertanyaan.' Rumiko cuba menyedapkan hatinya. Dia tidak mahu begitu pantas membenci dua insan yang baru hadir dalam hidupnya.

. . . . . . . . . . .

Sesudah menyelesaikan kerja-kerja sekolah, Rumiko termenung seketika. Dia teringat akan soalan yang ditanya oleh adik tirinya.

'Susah aku nak jawab soalan adik tiri aku ni. Pasal agama? Pasal Tuhan? Macam mana aku nak bagi jawapan yang sesuai dengan usiaku dan usianya?' Rumiko merungut di dalam bilik tidurnya. Dia tahu bahawa adik tirinya akan mendesaknya memberikan jawapan pada keesokan hari.

'Kenapa dia tidak bertanya kepada ayah? Ayahkan seorang pelajar di dalam bidang falsafah dan keagamaan. Lagipun, memang itu bidang pengajiannya.'

Rumiko menyelak-nyelak ensiklopedia yang diberikan oleh ibunya sempena hari lahirnya yang lepas. Dia cuba-cuba juga mencari-cari tentang Tuhan dan agama. Namun hanya nama-nama agama dan sedikit sebanyak ajaran dan kepercayaan agama sahaja dimuatkan di dalam ensiklopedia tersebut.

'Ini hanya jenis-jenis agama dan Tuhan-tuhan yang disembah. Ini bukannya tentang apa itu Tuhan dan apa itu agama.'

'Hmmm..... budak kecil ni memang terlalu luas pemikirannya. Aku sendiri pun tak pernah bertanya. Selagi aku tenang dan aku senang, selagi itulah aku akan mengamalkan ajaran-ajaran yang aku pegang sekarang.'

Rumiko merungut lagi. Tak terkira rungutannya sejak kebelakangan ini.

'Kalau macam itu, lebih baik aku bertanya sahaja kepada ayah.' Rumiko menuju bilik bacaan bapa tirinya. Dia yakin bapa tirinya masih tidak tidur lagi kerana bapa tirinya sedang menyiapkan tugasan untuk pengajian sarjananya di sebuah universiti di bandaraya.

. . . . . . . . . . . .

Bapa tiri Rumiko memilih untuk melanjutkan pelajaran di Jepun kerana dia amat berminat untuk mengkaji tentang perkembangan agama di sini. Katanya, masyarakat Jepun amat menarik kerana sikap terbuka mereka terhadap perkembangan pelbagai agama.

Dia mahu mengkaji bagaimana Shintoism, Confusianism dan Taoism mampu diasimilasikan dengan ajaran Buddha di negara ini. Dia juga tertarik untuk mengetahui bagaimana masyarakat di sini mahu menahan asakan penyebaran agama Kristian dan Islam di negara matahari terbit ini.

Rumiko mendengar cerita daripada ibunya, bahawa bapa tirinya pernah menolak tawaran untuk bekerja di sebuah Muzium terkemuka di negaranya semata-mata kerana minatnya untuk mengkaji adat dan budaya masyarakat di sini.

'Tok.. tok.. tok..' Rumiko mengetuk pintu bilik bacaan bapa tirinya.  'Ayah, tak tidur lagi ke?'

'Masuklah. Ayah tak tidur lagi.' Dia menyuruh Rumiko masuk.

'Kenapa Rumiko? Ada apa-apa masalah?' Dia mengalihkan buku-buku rujukannya ke tepi meja.

'Tiada  apa-apa ayah. Cuma, saya ada dua soalan yang memerlukan jawapan yang ringkas seringkas-ringkasnya'

'Apa soalannya? Tanyalah...'

'Ada orang bertanya kepada saya tentang Tuhan dan agama. Apa pendapat ayah tentang kedua-duanya?'

‘Siapa yang bertanya?’

‘Adalah. Biarlah rahsia’

‘Teman lelakikah yang bertanya?’

‘Mana ada ayah… Ayah ni… Saya serius sekarang ni.’

Wajah Rumiko merah padam. Segan sungguh rasanya apabila bapa tirinya menyebut perkataan ‘teman lelaki’ di hadapannya.

‘Kalau macam itu, buat apa nak rahsia-rahsia?’

‘Ayah.…’ Wajah Rumiko bertukar masam.

‘Baiklah. Ayah akan cuba beri jawapan.’ Ayah tiri Rumiko menghentikan gurauannya. Takut nanti merajuk pula anak kesayangannya itu.

‘Tuhan dan Agama… Berat sungguh soalan ni. Sepanjang kewujudan manusia sejak beribu-ribu tahun dahulu pun, masih lagi tidak ada jawapan yang pasti tentang persoalan ini.

. . . . . . . . . .

‘Ini pendapat ayah sahaja. Betul atau salah bergantung kepada siapa yang menilai jawapan ayah mengikut pengetahuan dan pengalaman masing-masing.’

‘Baik, ayah. Apa sahaja jawapan ayah, saya menerimanya dan menyampaikannya kepada yang bertanya.’

‘Pada pendapat ayah, Tuhan merupakan cara manusia menjelaskan tentang kewujudan alam dan sekalian isinya. Manakala agama pula merupakan tatacara bagaimana manusia perlu berinteraksi dengan alam sekitar.'

‘Apa maksud ayah?’

‘Maksudnya, Tuhan itu dinyatakan sebagai suatu entiti berkuasa yang menyebabkan segala-galanya wujud di dunia dan di seluruh alam semesta. Namun, entiti yang bagaimana atau bagaimana kuasanya berkait rapat dengan kewujudan segala-galanya masih lagi menjadi tanda tanya.’

‘Jadi ayah, perbezaan tafsiran manusia tentang kewujudan Tuhan inilah yang menyebabkan munculnya pelbagai agama?’

‘Ya, betul tu. Kepelbagaian cara manusia menafsir kewujudan alam dan hubung kaitnya dengan Tuhan menyebabkan timbulnya pelbagai agama dan kepercayaan. Perbezaan adat istiadat dan peraturan yang melingkungi masyarakat setempat turut menjadi pendorong utama kemunculan agama dengan prinsip-prinsip dan pegangan yang berbeza.’

‘Apa maksud ayah tentang agama sebagai tatacara perhubungan manusia dengan alam sekitar?’

‘Maksudnya, ajaran agama itu menyediakan garis panduan kepada manusia bagaimana untuk berinteraksi sesama manusia dan alam sekelilingnya. Sebagai contoh, galakan untuk berbuat kebaikan dan menjauhkan diri daripada kejahatan merupakan cara-cara ajaran agama untuk mengajar manusia bagaimana untuk memelihara keseimbangan alam semesta.’

‘Ada apa-apa soalan lagi? Kalau tiada, ayah hendak menyambung semula kerja-kerja menaip hasil kajian ayah.’

‘Tiada apa-apa lagi ayah.’

‘Baiklah. Kalau begitu, masuk tidur sekarang. Esok nak keluar awal pagi kan?’

'Baiklah. Terima kasih ayah....'

'Sama-sama, Rumiko....'

Baru sahaja Rumiko hendak menuju ke bilik tidurnya, tiba-tiba dia teringat satu lagi soalan yang pernah menerjah ke dalam fikirannya tak berapa lama dahulu.

‘Ayah! Saya ada satu lagi soalan.’

‘Apa dia?’ Bapa tiri Rumiko bersedia untuk soalan yang seterusnya.

‘Pada pendapat ayah, agama yang mana merupakan agama yang benar sebenar-benarnya?’

‘Hmmmm….’

. . . . . . . . . .

‘Soalan ini pun sangat berat untuk dijawab.’ Bapa tiri Rumiko mengeluh. Namun wajahnya tidak pernah lekang dengan senyuman. Baginya, dia berasa amat bertuah kerana mempunyai seorang anak yang begitu kuat perasaan ingin tahunya.

‘Kenapa ayah?’

‘Peperangan agama membuktikan bahawa setiap agama mendabik dada sebagai satu-satunya agama yang benar dan diterima di sisi Pencipta. Namun, ini bukan salah agama sebenarnya. Hanya pengikut-pengikut agama yang terlalu bersemangat menyebarkan atau mempertahankan agama.’

‘Jadi, ayah tiada jawapannya?’

‘Ya. Ayah tiada jawapannya. Tetapi ayah berpendapat bahawa kita berhak untuk percaya kepada mana-mana agama selagi tidak wujud  unsur paksaan dan penganiayaan sesama manusia.’

‘Ayah sangat terbuka dengan isu-isu agama kan?’

‘Ya. Ayah rasa, kewujudan agama ialah untuk mengawal naluri kehaiwanan manusia dan bukan menggalakkannya. Jadi, berpegang kepada mana-mana agama akan membawa kebaikan kepada manusia dan kepada seluruh alam semesta jika manusia berfikiran terbuka dan menghormati perbezaan antara mereka.’

‘Itu sahaja soalan saya, ayah. Terima kasih sekali lagi ayah.’

‘Sama-sama Rumiko.’

. . . . . . . . . .

Rumiko bergerak menuju pintu bilik bacaan. Baginya, jawapan ayah lebih banyak membuahkan pertanyaan daripada penyelesaian. Dia baru sedar bahawa pengetahuannya tentang Tuhan dan agama begitu berat sebelah dan sangat prejudis kepada agama selain daripada agama anutannya.


'Penjelasan ayah nampak mudah....' Kata Rumiko setelah keluar dari bilik bacaan bapa tirinya.

'Tapi, macam mana aku hendak ringkaskan dan terangkan kepada adik pada esok petang?'

Rumiko kembali ke biliknya. Ensiklopedia tadi dibaca berkali-kali. Rumiko mahu menambahkan pengetahuan. Dia tahu bahawa dia perlu belajar dengan lebih banyak lagi. Kali ini, kelihatan bahawa dia yang lebih bersemangat untuk mencari jawapan kepada soalan-soalan adiknya.

'Memang patutlah adik tak mahu bertanya sendiri kepada ayah. Dia tahu yang agak sukar memahami jawapan ayah yang kelihatan mudah dan ringkas...'