Isnin, 1 September 2014
Karya yang mengubah segala-galanya.
Apa dia?
Memperkenal buku yang berjudul 'Japanese Death Poems: Written By Zen Monks and Haiku Poets on the Verge of Death'. Buku ini merupakan hasil karya Yoel Hoeffman, seorang sarjana Barat yang membuat kajian di Universiti Kyoto tentang budaya menulis 'puisi kematian' dalam kalangan masyarakat Jepun.
Karya ini dimulakan dengan memperkenalkan para pembaca kepada jenis-jenis puisi yang ditulis oleh masyarakat Jepun. Masyarakat Jepun menulis mengikut pelbagai format. Antara format yang popular ialah Choka, Tanka, Haikai, Haibun dan sebagainya. Namun, yang paling mudah ditulis dan diamalkan oleh golongan atasan dan masyarakat awam ialah Tanka dan Haiku.
Tanka merupakan puisi pendek yang mengandungi 31 suku kata yang disusun secara 5-7-5-7-7 suku kata di dalam satu perenggan. Manakala Chouka merupakan puisi panjang yang tidak mengandungi had suku kata, tetapi disusun secara 5-7-5-7..... dengan barisan yang terakhir mengandungi 7 suku kata. Haiku pula merupakan puisi yang lebih pendek daripada Tanka dengn hanya mempunyai 22 suku kata dan disusun secara 5-7-5.
Tanka menjadi popular setelah penjilidan Kokinshu dan menjadi standard utama penulisan puisi masyarakat Jepun klasik. Kemunculan Basho, Buson dan Issa mempopularkan bentuk puisi Haiku. Haiku menjadi popular dalam kalangan masyarakat kerana formatnya yang mudah dan singkat.
Tanka dan Haiku merupakan dua format puisi yang menjadi topik perbincangan utama di dalam karya ini.
. . . . . . . . . .
Kenapa?
Masyarakat Jepun merupakan masyarakat yang begitu kuat dihubungkan dengan alam sekelilingnya. Alam sekitar dipandang sebagai entiti supernatural yang turut sama mempengaruhi kehidupan manusia. Berbanding dengan masyarakat yang berpegang kepada ajaran Ibrahim, masyarakat Jepun tidak mempunyai konsep entiti supernatural yang mencipta segala-galanya namun terpisah dan tidak bercampur-gaul dengan ciptaanya.
Masyarakat Jepun turut dikenali sebagai masyarakat yang paling kuat dipengaruhi unsur-unsur Taoism, Confucianism dan Buddhism. Pengenalan unsur-unsur ini telah digabungkan dengan nilai-nilai asal masyarakat Jepun yang bersumberkan Shintoism. Puisi-puisi masyarakat Jepun begitu pekat dihiasi dengan unsur-unsur alam yang dicirikan dengan kepercayaan keagamaan.
Mengikut hasil kajian penulis, didapati bahawa masyarakat Jepun merupakan satu-satunya masyarakat yang menekankan penulisan 'puisi kematian' di samping penulisan wasiat berkenaan pembahagian harta benda. Puisi kematian ini secara ringkasnya merupakan kesimpulan yang didapati oleh penulisnya sama ada tentang kehidupan, kematian, ketuhanan, kegembiraan, penyesalan atau ketidakpastian yang menanti manusia selepas meninggalkan dunia.
Puisi-puisi kematian ditulis oleh pembesar istana, pahlawan samurai, pemuisi jalanan, sami-sami Buddha dan orang kebanyakan. Mereka percaya puisi kematian akan terus hidup setelah kematian mereka dan unsur-unsur keseniannya akan berkekalan mempengaruhi institusi kemasyarakatan. Hal ini kerana, mereka percaya bahawa puisi kematian merupakan satu warisan yang amat berguna sebagai panduan dan luahan perasaan yang berkesan.
. . . . . . . . . .
Ok... Habis tu?
Yang pertama sekali, buku ingin mengupas sedikit sebanyak tentang kesusasteraan Jepun. Bermula sebagai sastera pinjaman daripada Negara China, orang Jepun mengubahsuainya mengikut adat dan kebudayaan mereka tanpa perlu bergantung seratus-peratus kepada nilai-nilai kesusasteraan negara asalnya. Bagaimana masyarakat yang mahu menjadi maju perlu meniru dan mengubah suai nilai-nilai negara maju (Negara China semasa Dinasti Tang) sehingga mereka mampu untuk berdiri sendiri dengan nilai-nilai baru yang tidak terlalu melangit, tetapi masih tertancap kukuh di muka bumi. Tanka dan Haiku lebih dikenali sebagai kesenian asli Jepun dan bukan sebagai kesenian negara China yang dijepunkan.
Yang kedua ialah, unsur-unsur keagamaan yang begitu kuat didalam masyarakat. Agama merupakan salah satu tali pengikat yang mengikat sesebuah masyarakat dengan kebudayaannya. Puisi-puisi Jepun dicirikan dengan unsur-unsur Buddhism yang begitu pekat. Kepercayaan yang diterapkan oleh Buddhism terhadap 'kehidupan yang sementara' dihubungkaitkan dengan elemen-elemen alam sekitar. Pembentukan embun, proses hidup serangga, kembang kuncup bunga-bungaan dan keindahan bulan purnama disiram dengan elemen spiritual yang begitu kuat melekat dalam kalangan penduduk setempat.
Bayangkan, orang-orang kebanyakan mampu menulis puisi yang setanding unsur spiritualnya dengan sami-sami yang mengetuai institusi keagamaan. Bayangkan bagaimana gadis-gadis penghibur (geisha/pelacur) mampu mempersembahkan satu karya yang begitu kuat nuansa ketuhanan setanding dengan pembesar-pembesar Istana. Dan bayangkan bagaimana pahlawan-pahlawan menonjolkan sisi kemanusiaan mereka setanding dengan para mahaguru yang begitu mahir di dalam pelbagai cabang kesenian.
Yang terakhir sekali, bagaimana manusia berbeza di dalam menanggapi kematian. Apa itu kematian? Bagaimana rasanya kematian? Ke mana perginya kita selepas dimatikan? Apa maknanya kehidupan jika yang merenggut segala-galanya merupakan kematian? Persoalan-persoalan ini cuba dijawab oleh para penulis berdasarkan pengetahuan dan pengalaman yang pasti dipenuhi dengan perbezaan. Namun, setiap perbezaan yang ditonjolkan tetap berdasarkan unsur-unsur alam yang berkekalan sepanjang zaman. Sebagai contoh, walaupun penulis merupakan mangsa pembunuhan atau secara sukarela mengambil nyawa sendiri, namun mereka tidak menyalahkan sesiapa bahkan menerimanya sebagai hukum alam.
Melalui puisi-puisi sebegini, manusia mampu melebarkan pandangannya tentang kehidupan dan kematian. Kematian akan dianggap sebagai jambatan menuju sebuah lagi penghidupan yang tiada siapa mampu memberikan penjelasan. Kematian merupakan sesuatu yang perlu dirasakan sendiri oleh manusia untuk mendapatkan jawapannya. Setidak-tidaknya, puisi-puisi ini memberikan sedikit petunjuk tentang saat-saat kematian yang perlu dihadapi oleh setiap orang.
. . . . . . . . . . .
Ok.... tak faham.
Jadi kalau tak faham, bacalah sendiri. Kehidupan merupakan gabungan pengetahuan, pemerhatian dan pengalaman.
. . . . . . . . . . .
Tamat