Isnin, 17 Mac 2014

Rumusan.

Pada suatu hari, ada seorang sahabat bertanya kepada aku,

A: Bro, macam mana kau buat benda yang kau tak suka selama lima tahun?

F: Tak suka? Senang je, kau jadikan benda yang kau tak suka tu sebagai part time dan benda yang kau suka sebagai full time.

Berikut adalah jawapan penuh yang tidak dapat diluahkan kerana kesuntukan masa.

*pembacaan adalah digalakkan. tak baca pun tak pa. saja nak share.

. . . . . . . . .

Sempena pertukaran status ini, nak jugalah berkongsi sedikit sebanyak pengalaman selama hampir 5 tahun di AIKOL.

Undang-undang bukan merupakan pilihan hati walaupun nombor satu dalam permohonan UPU. Aku lebih mengharapkan dapat menyambung pelajaran di UIAM dalam jurusan Sejarah dan Tamadun dan di UM dalam jurusan Pengajian Asia Timur.

Jadi, belajar di AIKOL merupakan pembelajaran secara setengah masak dan lebih mengutamakan hidup berfoya-foya daripada keseriusan menuntut ilmu.

Tapi, di AIKOL juga aku bertemu rakan-rakan yang begitu optimis, positif dan berdedikasi dalam pelajaran. Lalu aku pun terfikir, kenapa aku tak begitu.

Jadi, bermula pada tahun yang pertama selepas satu semester di CELPAD, aku mula mengejar apa yang aku mahu dahulu. Dan perkara ini dilaksanakan mengikut tingkatan tahun.

Pada tahun yang pertama, aku menumpukan perhatian kepada pembacaan buku-buku sejarah. Sejarah Islam menjadi tumpuan. Tak dilupakan sejarah Asia Timur dan sedikit sejarah Eropah dan Amerika Syarikat. Tidaklah aku pakar mengenai sejarah, tetapi sekarang aku dapat melihat penipuan-penipuan slogan berteraskan sejarah, agama, ideologi dan politik.

Pada tahun yang kedua, aku mula mendalami sedikit demi sedikit bahasa Jepun. Bahasa Jepun menemukan aku kepada keindahan ajaran Buddha dan Shinto serta ajaran-ajaran berteraskan Buddhism di seluruh dunia.
Insyaallah akan diteruskan Bahasa Jepun ini kerana bahasanya yang indah dan gadis-gadisnya pun indah-indah jugak.

Pada tahun yang ketiga, aku cuba untuk mengasah bakat di dalam lukisan. Maklumlah, minat sangat dengan kartun. Segala apa yang boleh ditiru akan ditiru sehinggalah mampu untuk mengubah sedikit sebanyak untuk mengikut citarasa sendiri. Sekarang ni, dah putus asa dah. Memang kurang bakat melukis ni. Kena banyak kemahiran dan imaginasi. Yang aku ada kemalasan je.

Tahun keempat merupakan tahun yang amat kritikal. Luka-luka yang ditoreh-toreh pada setiap sudut di ruang hati menambahkan lagi kefoya-foyaan dalam pembelajaran.

Pada tahun ini, aku mula menerjah masuk ke dalam bidang falsafah dan kesusasteraan. Falsafah pelbagai mazhab Buddha termasuk Taoism dan Confucianism, pasca pencerahan serta puisi-puisi Inggeris menjadi pilihan hati. Kristianiti juga mula diterokai secara serius. Mazhab-mazhab Islam di luar jalur utama turut menjadi kajian.

Tahun kelima, tahun resit. Tahun ini tetap diteruskan walaupun rasa mual dan muak sudah mula menguasai otak dan tekak. Muntah terpaksa ditahan-tahan dan topeng terpaksa kembali disarung pakai. Falsafah pesimistik dan novel-novel berunsurkan Kristianiti serta ultra-Nasionalism Jepun di ulang baca.

AIKOL turut mengajar aku menghargai Black Metal, Symphonic Metal, pelbagai cabang Syiah, Ibadhism, deism, pantheism, anak patung, liberalism, atheism dan sekularism yang tak pernah aku fikir akan menjadi begitu rapat dengan aku kerana label anti-Islam yang terlekat kemas pada kategori-kategori di atas.

Begitulah kisahnya. Memang membunuh diri cara aku lepaskan tekanan. Hahahaha.

. . . . . . . . . .

Amaran!

Jangan contohi kisah di atas. Sebab pointer gerenti rendah. Mungkin nanti tak minat amalkan satu pun yang kita belajar.