Aku nak kejar apa yang aku nak buat masa mula-mula masuk universiti dulu. Aku dah putuskan untuk meneruskan pembelajaran bahasa Jepun supaya aku berpeluang untuk menggali seberapa banyak ilmu di negara Matahari Terbit.
Kontradiksi antara tradisi dan kemodenan, adab sopan dan kehidupan liar, spiritualiti dan keagamaan amat memukau pemikiran. Bagaimana sebuah masyarakat kepulauan mempunyai pemikiran dan peradaban yang begitu rumit namun mampu untuk mengadaptasi elemen-elemen baru yang diperkenalkan seolah-olah ia merupakan nilai asal masyarakat Jepun?
Bagaimana Jepun begitu pantas menawan puncak kemajuan dan kemodenan meskipun baharu saja terlepas dari cengkaman pemulauan yang dipaksakan oleh Keshogunan Tokugawa dan pemusnahan besar-besaran secara fizikal dan mental oleh bom atom dan dasar pembasuhan pemikiran oleh Amerika Syarikat pasca Perang Dunia Kedua?
Bagaimana sifat liberal terhadap wanita masih mampu memelihara kesucian dan kelangsungan perkembangan mental masyarakat Jepun yang sering ditohmah sebagai meng'alat'kan wanita dengan unsur seksual dan perhambaan. Walaupun begitu, wanita-wanita mereka masih lagi mampu berdaya saing dan berfikiran positif tanpa rasa rendah diri terhadap dominasi kaum lelaki yang terkenal dengan sifatnya sebagai penganiaya di seluruh dunia?
Jepun. Jepun. Kau memukau aku dengan kreativiti dan keberanian kamu.