Rabu, 16 April 2014

Encik F.

Dimulakan dengan petikan koto dan tiupan shakuhachi, Encik F terjaga dari mimpi. Kemudian, kedengaran gesekan shamisen yang diiringi suara merdu mendayu-dayu pelantun shigin memenuhi kamarnya sunyi.

Sudah berbulan-bulan lamanya sinar bulan menjadi penemannya yang tak pernah mati. Matanya tidak mampu ditutup lagi. Mindanya tak dapat dikunci. Kadang-kala, dia mengeluh kerana kepercayaannya sedang diuji.

Sudah tidak terkira putaran lagu dendangan kumpulan Wagakki yang menjadi konduktor pengalir arus fikirnya ini. Terasa mahu sahaja Encik F menulis tentang segala-galanya yang dipendam di dalam hati.

"Bertuah sungguh. Bertuah sungguh siswa-siswi yang peluangnya telah diberi untuk menuai ilmu dan budi di penghujung bumi. Bertuah sungguh siswa dan siswi yang menjadi saksi cahaya mentari mula-mula sekali mencumbui tanah-pamah yang suci di penghujung bumi."

Encik F mula merungut seorang diri.

"Di penghujung bumi, cahaya Sakyamuni bersinar dengan terang sekali. Cahaya ini tidak sekali-kali membunuh budi dan daya peribumi."

"Amaterasu Omikami bukanlah seorang yang pembenci. Diterima Sakyamuni seolah-olah Sakyamuni salah seorang dewa dan dewi di bumi Yaoyorozu no Kamigami."

"Ah... bila rasanya aku dapat menjejakkan kaki di penghujung bumi. Muak rasanya hidup di bumi yang dipenuhi rasa benci dan perasan diri terlalu 'holy'. Benci aku. Benci!"

"Yang dilaung-laung para pencaci, 'kalau kau bukan golongan aku, biar kau hangus dibakar nanti. Kalau kau bukan berfahaman aku, biar kau mampus diseksa nanti.' Adakah ini yang aku cari?"

"Di bumi yang aku pijak hari ini, tidak mungkin sekali-kali peristiwa Hachiman yang turut serta membina tugu Sakyamuni akan berulang disini."

"Hmm... tapi aku sendiri tak berani. Begitu teguh hatiku ini tertancap di sini. Hendak menuju matahari, takut pula dilambung ombak Tsunami. Itu belum lagi kalau aku mahu mendaki ke puncak Skytree. Gayat rasanya nanti,"

'Arghhh! Kau penakut! Penakut gila babi! Terlalu busy menjaga hati. Tidak sekali-sekali dunia ini akan melayan kau seperti tuan puteri sehingga akhir hayat kau nanti!

Pergi kau negativiti! Pergi kau mati! Jadikan telinga kau itu telinga kuali. Tak sekali-kali terbakar dek panas api!

Leburkan sahaja hati kau nanti! Biarkan mengeras bersama-sama caci dan maki supaya menjadi kukuh dan keras seperti keluli!

Tinggalkan segala memori. Kau hidup hanya pada waktu ini. Jadikan waktu ini waktu engkau menjejakkan kaki di tanah yang suci!

Kau perlu bangkit dari mimpi-mimpi! Kau ingat tak lagi apa yang engkau janji usai pengajian sarjana muda kau nanti?'

Hati kecil Encik F mengherdik dirinya sendiri. Encik F patah hati dengan dirinya sendiri. Berapa kali Encik F lari? Berapa kali Encik F kecewa dan makan hati? Ini semua salahnya sendiri.

Ingin saja Encik F lari dan kembali ke dunia mimpi untuk terakhir kali. Lari ke dunia mimpi di mana segala-galanya harmoni di samping Koma-Inu dan Torii.

. . . . . . . . . .

Glosari:

Koto, Shamisen, Shakuhachi: Alat muzik Jepun
Shigin: Persembahan bacaan puisi Jepun yang berasal dari cina.
Wagakki: alat muzik Jepun secara am. Nama band Jepun
Sakyamuni: Buddha
Amaterasu Omikami: Dewi utama Shinto
Yaoyorozu no Kamigami: Jumlah dewa-dewi dalam kepercayaan Jepun.
Hachiman: Dewa Perang Shinto. Salah seorang Boddhisatva.
Skytree: Tokyo Skytree
Koma-Inu: Patung berbentuk gabungan singa atau anjing di hadapan tokong Shinto atau Buddha.
Torii: Macam pintu masuk sebelum Tokong Buddha/Shinto.