'Hmm... bila agaknya nak siap download ni? Lambat gila. Dah pukul 12 tengah malam ni. Cerita Pokemon je kot.'
'Abang.. ooo... Abang! Abang!'
'Ye mak! Kenapa mak? Nak suruh beli makanan tengah malam ke?'
'Bukanlah. Ni pasal lain. Abang, mak ingatkan Imam al-Ghazali tu imam yang hidup masa zaman dulu-dulu. Rupa-rupanya baru lagi dia lahir.'
Emak masuk ke dalam bilikku. Dia pun menyuakan buku bertajuk Dialog Dengan Al-Quran dan menunjukkan jarinya pada nama penulis tersebut.
'Emak dengar dekat TV hari tu, Imam Al-Ghazali lahir tahun 1917. Maknanya tak jauh sangat la jarak dia dengan kita.'
'Eh... Emak dah silap orang ni. Penulis buku ni namanya Sheikh Muhammad al-Ghazali. Orang yang disebut dalam TV tu pun sheikh yang ini. Tapi dia bukan Imam al-Ghazali. Imam al-Ghazali lahir tahun 1050 lebih Masihi.'
'Tak sama ke? Mak tengok macam sama. Cuba tengok apa yang dia tulis dekat buku ni. Imam al-Ghazali atau nama sebenarnya Muhammad bin Muhammad Al-Ghazali. Kan sama nama tu?'
'Ni Al-Ghazali lain mak. Imam Al-Ghazali orang Parsi. Lahirnya di Tus, wilayah Khurasan. Dekat Iran. Sheikh ni pulak orang Mesir. Lahirnya di Iskandariyah. Tak sama dua-dua ni.'
'Iran? Iran bukan negara Syiah? Macam mana boleh ada ahli Sunnah?'
'Dulu Iran memang wilayah Ahli Sunnah wal Jamaah, mak. Cuma lepas Dinasti Safawiyah naik tahun 1500-an, baru mazhab utamanya ditukar jadi Syiah Imam Dua Belas.'
Pantas aku letakkan buku nipis yang aku pegang berjudul Introduction to Zen Buddhism di atas meja belajarku.
'Hmm.. makin semak meja aku dengan rujukan-rujukan mengenai agama Buddha ala Jepun.'
Aku baru saja mahu menyusun buku nipis itu sebaris dengan buku-buku agama yang lain. Tiba-tiba emak datang. Mataku pantas melilau pada rak-rak buku di sebelah katil tempat tidurku.
'Mana agaknya buku Tokoh-tokoh Gerakan Islam Abad Moden yang aku beli hari tu? Hmm....'
Setiap rak digeledah. Puisi-puisi Rumi, Gibran, Tennyson dan Neruda ditarik keluar. Namun, karya Dr. Riduan Mohd Nor itu masih tak kelihatan.
'Bukan rak ni kot. Rak lagi satu rasanya.'
Aku meneliti satu persatu rak-rak yang ada. Masih juga tak kelihatan kelibat buku tersebut. Yang ada hanyalah karya-karya Zainuddin Maidin, Dato' Seri Utama Rais Yatim dan ayahanda Tun Dr. Mahathir Mohamad. Aku beralih pada rak yang lain.
'Hmmm... masa aku tak nak cari buku Al-Sheikh al-Allamah Dr. Sayid Husain al-Musawi, masa tu la buku ni terjojol depan-depan mata. Masa nak baca, lenyap entah ke mana. Sama jugak dengan buku-buku Kassim Ahmad. Ha! Dah jumpa!'
Rupa-rupanya buku itu terselit di antara kitab Injil dan biografi Nabi Isa karangan seorang novelis Katolik berbangsa Jepun. Aku terlupa untuk meletakkan buku itu di tempat yang sepatutnya selepas bilikku selesai diubah suai. Aku pun memberi buku tadi kepada ibuku.
'Nah mak. Tengok ni. Ni lah Sheikh Muhammad al-Ghazali. Imam Al-Ghazali lain orangnya. Tengok buku ni pulak. Yang ni baru Imam al-Ghazali.'
Aku mencapai buku Tamadun Islam yang dibaringkan bersama-sama rujukan mengenai Pornografi, Geisha dan Samurai di Jepun. Buku itu disuakan kepada emak. Tekun emak membacanya.
'Oh.. Lain ke? Ingatkan sama. Nama dah lah sama. Punyalah emak ingatkan Imam Al-Ghazali ni geng-geng kaum Muda. Eh, kau apasal tak tidur lagi?'
'Tak boleh tidur mak. Sekarang ni tengah baca pasal teori Darwin. Ala pasal teori yang kononnya manusia berasal daripada monyet. Ni buku dia.
Aku menunjukkan buku 'On the Origin of Species' kepada ibuku. Pantas dibelek-belek buku yang digelar kitab suci evolusi tersebut.
'Tak nampak monyet pun dalam buku ni.... Yang ada tulisan je.'
'Tulah. Sebab orang malas baca la diorang tuduh macam-macam dekat Darwin ni.'
'Dah pergi tidur. Tak elok tidur lambat-lambat. Kau nak jadi bujang terlajak?'
'Terlajak pun terlajak lah.... life begins at forty.' Aku ketawa seorang diri.
'Malas nak layan kau ni. Nasib baik kau tak cerita fasal teologi macam pagi tadi. Kusut kepala mak. Rasa macam nak klorok balik kepala otak lepas kau bagi kotor dan berkarat.'
Emak melangkah menuju pintu bilik. Tiba tiba dia menjerit kerana terkejut.
'Opocot! Eh abang! Apasal ada buku kau dekat bawah kaki mak ni. Susun balik. Bersepah-sepah!'
'Ye mak. Abang nak susun la ni. Tadi nak susun tiba-tiba mak datang.'
Aku pun mengambil naskhah The God Delusion, Tao Te Ching dan Thus Spake Zarathustra lalu 'menyusunnya' di atas almari. Buku-buku itu diletakkan sebaris dengan karya Descartes, Schopenhauer dan Spinoza.
Tiba-tiba, aku terpandang sudut paling bawah rak buku yang paling uzur dan paling usang. Mataku merenung pada buku rujukan undang-undang yang hadir di dalam hidupku tanpa diundang.
. . . . . . . . . .
Pengangguran dan hidup bujang adalah resipi terbaik kepada pluraliti.
Tamat