Jumaat, 4 April 2014

Dialog.


A: Kau tahu macam mana hendak mengalahkan hujah-hujah atheist?

B: Entah. Macam mana?

A: Kau tanya budak-budak tak bertuhan itu bagaimana mahu membuktikan kewujudan udara. Kita tahu udara itu ada. Dan kita tahu hari-hari kita menghirupnya. Tapi, cuba kau suruh mereka buktikan bahawa udara itu ada. Mereka pasti tidak boleh tunjukkan di mana udara. Kerana udara itu entiti yang tidak nampak dan ghaib.

B: Ok. Habis tu?

A: Kau kiaslah kan dengan kewujudan Tuhan. Bagaimana Tuhan itu ada walaupun kita tak dapat mengesan dengan penglihatan dan pendengaran kita.

B: Tapi....

A: Tapi apa?

B: Udara masih boleh disukat. Udara juga boleh dipecah-pecahkan kandungannya melalui ujikaji sains. Udara boleh dimanfaatkan dan disimpan untuk kegunaan masa hadapan. Tapi, Tuhan tidak boleh dibuktikan apa-apapun kewujudannya. Kalau kita boleh tahu yang udara itu terdiri daripada Oksigen, Karbon Dioksida, Nitrogen dan sebagainya, bagaimana kita hendak mengetahui bahawa Tuhan itu bukan Zeus, Baal, Yahweh, Siva, Wisnu, Buddha, Maharaja Jed serta Hyang Besar atau gabungan semuanya? Bolehkah ketuhanan itu disukat dan dimanfaat sama seperti udara?

A: Kau...... Kau atheist!

. . . . . . . . . .

Di dalam sebuah kelas, ada seorang murid membidas gurunya dengan mengatakan bahawa jika gurunya berotak, maka tunjukkan otaknya. Jika gagal, maka otaknya tiada dan tidak wujud. Dia kemudian membuat kiasan menyamakan kewujudan otak gurunya sama seperti kewujudan Tuhan. Otak itu ada. Tetapi tidak dapat ditunjukkan kewujudannya.

Guru: Jadi, atas alasan ini kamu ingin membuktikan kewujudan Tuhan?

Murid: Ya.

Guru: Bagaimana kalau saya katakan jika saya membelah kepala saya ini, maka akan kelihatan organ yang bernama otak. Setuju atau tidak?

Murid: Setuju.

Guru: Dan bagaimana kalau saya katakan bahawa dengan berdiri dihadapan kamu semua dan mengajar kamu semua maka boleh dikatakan saya mempunyai otak dan menggunakannya untuk manfaat kamu semua?

Murid: Setuju

Guru: Jadi bagaimanakah untuk kita membuktikan kewujudan Tuhan? Ada apa-apakah yang boleh dibelah untuk menunjukkan keberadaan Tuhan? Dan kalau agama, rasul dan kitab suci itu sebagai jalan yang menunjukkan adanya Tuhan, bagaimana bentuk dan kekuasaannya berbeza mengikut budaya, agama dan lokasi ajaran di sebarkan? Adakah hanya satu atau beribu-ribu Tuhan yang ada?

Murid: Bagaimana dengan fikiran? Mampukah Tuan Guru menunjukkan di mana buah fikiran kita berada?

Guru: Cuba kamu lihat diri kamu sendiri. Jika kamu tidak mempunyai fikiran, mampukah kamu memberikan soalan kepada saya? Adakah sekian banyak tugasan yang kamu selesaikan gagal membuktikan kewujudan fikiran kamu? Hal ini serupa juga kalau dibandingkan dengan roh kita. Kehidupan itu sendiri sudah membuktikan kewujudan roh walaupun mungkin berbeza-beza pengalaman hidupnya.

Murid: Kau...... Kau atheist!

. . . . . . . . . .

Soalan:

1. Adakah sesuai membuktikan kewujudan Tuhan melalui perbandingan dengan ciptaan-Nya?

2. Adakah Tuhan perlu dibuktikan kepada pancaindera manusia barulah manusia mampu menerima kewujudan-Nya?

. . . . . . . . . .

Tamat