Ahad, 16 Februari 2014

Kutu.

"Ah.. Terlambat bangun. Kelas pukul lapan. Bangun tigapuluh minit sebelum pukul sembilan."

"Biarkanlah... Bukan kelas penting. Cuma kelas sejarah dan falsafah agama."

"Mata pun tak mampu nak buka. Kembali beradulah jawabnya."

. . . . . . . . . .

"Engkau! Bangun! Cepat bangun!"

"Eh... kenapa ni? Baru nak lelap mata dah dikejutkan entah siapa."

"Bangun! Cepat bangun! Kau mahu dicabut nyawa?"

"Siapa tu? Malaikat maut? Siapa kau yang suka-suka mahu mencabut nyawa?"

. . . . . . . . . .

"Aku ialah engkau! Diri engkau yang telah lama kau tinggalkan! Kau siapa mahu menanya-nanya aku?"

"Engkau? Aku? Engkau adalah aku? Habis aku ni siapa?"

"Engkau adalah aku. Tetapi aku yang baru. Aku yang dah lupa siapa aku."

"Engkau! Pergi! Pergi jauh dari aku. Siapa engkau mahu kembali ke sisi ku?"

. . . . . . . . . .

"Nampaknya engkau sudah lupa. Engkau dulu ialah orang yang bagaimana. Mari. Dengarkan kataku."

"Ah! Aku tak mau. Kau itu cerita dulu-dulu. Kau itu cerita yang aku kebumikan dulu."

"Diam! Engkau lupa agaknya. Tanpa aku, tiada engkau yang kini menolak aku. Tanpa aku, engkau takkan sampai ke tahap ini dulu!"

"Ah. Tuhan lebih tahu. Aku kini adalah yang lebih baik daripadamu. Aku kini adalah manusia terbaik tanpa mu."

. . . . . . . . . .

"Pergi! Aku mahu tidur. Jangan ganggu tidur lenaku!"

"Kau pasti mahu tidur? Kau pasti mahu kucabut nyawamu?"

"Tidak akan mati aku dibunuh oleh aku yang dahulu. Kerana engkau juga adalah aku!

"Baik. Teruskan hidup didalam lenamu. Teruskan dibuai mimpi-mimpi yang menipu."

. . . . . . . . . .

"Alamak! Aku terlupa hari ini ada pembentangan tentang topik penyebaran Islam di Tanah Melayu dan unsur-unsur Melayu dalam pengamalan Islam di gugusan Kepulauan Melayu."

"Ah. Pedulilah. Bukan aku yang bentang."

"Lagipun, apa ada dengan Melayu? Setakat gah di buku-buku."

"Tamadun Hindu dan elemen-elemen Melayu-Hindu juga yang dijunjung tinggi ke langit biru."

. . . . . . . . . .

"Aku Melayu baru. Buat apa mahu mengimbas kembali hidup Melayu dahulu."

"Cukup dengan identiti baru. Cukup dengan ideologi baru."

"Aku redha hidup sebagai kutu yang hidup menumpang sepanjang waktu."

"Aku rela. Biarpun matiku nanti di tangan syampu kutu yang juga menumpang di rambut tuan ku!"

-tamat-