Sabtu, 15 November 2014

Tukang kasut

'Anak pak cik masih menuntut..'
Tutur lembut si tukang kasut
'Nun jauh di daerah Besut...'
Sambung dia terbatuk semput
'Sudah lama dia mengikat perut.
Baru semalam, dia menyebut.'
'Apa jurusnya anak pak cik menuntut?'
Aku pun bertanya apa yang patut.
Hajat di hati menembus laut, mengali riwayat si tukang kasut.
'Jurusnya tentang pahitnya hidup...'
Si tukang kasut mulai berkerut.
Dia menjahit tapak tercabut,
Di hujung mulut tertancap rokok.
'Anak pula bagaimana hidup?'
Sudah bekerja atau masih menuntut?'
Soal balas si tukang kasut.
Menutup soal mengubah tajuk.
'Saya baru habis menuntut..
Atau sepatutnya bukan dipanggil menuntut
Kerana hidup sekadar seronok-seronok
Belajarnya tak masuk, ilmunya diperuk...'
Angin bertiup, awan membusut
Langit mendung tanda nak ribut...
'Sudah disambung apa yang tercabut.'
'Kertas merah yang kerunyuk
Hanya sehelai saya tuntut.'
'Terima kasih anak menghantar kasut
Dapat hasilnya mengisi perut.'
'Sama-sama si tukang kasut.'
Tuturku perlahan bernada lembut.
'Semoga berjaya di dalam hidup
Jangan pernah berhenti menuntut!'
Balas ringkas si tukang kasut.
Aku akur, hanya mengangguk.
Aku tinggalkan si tukang kasut,
Duduk seorang di tepi sudut.

-Tamat-