Ahad, 31 Disember 2023

Selamat tinggal

 Tiba akhirnya

hari terakhir 2023


pergilah bersama

kepedihan dan kesedihan

yang tak terungkapkan


selamat datang 2024

bawalah bersama kamu

harapan dan kegembiraan


-tamat-

Isnin, 25 Disember 2023

Otaku

 Aku dah jumpa matlamat aku sekarang.

Menjadi otaku bermaruah.

Maksudnya: meneruskan minat aku dalam bidang ACG dan mainan dengan duit dan usaha aku sendiri.

Aku akan berusaha untuk maju ke depan, menghabiskan pelajaran, dan mencari pekerjaan untuk menampung minat aku secara sihat.

Segala tekanan pelajaran atau pekerjaan akan aku telan demi memastikan minat aku ni akan menjana semangat aku untuk terus hidup dan tidak lagi menoleh ke belakang.

Hidup tanpa hobi dan minat ibarat tidur tanpa mimpi.

Aku dah penat hidup tanpa matlamat walaupun minat aku hanya sekecil mengumpul kereta mainan.

 

-tamat-

Jumaat, 8 Disember 2023

Tiga puluh empat

 Selamat hari jadi.

Semoga pada umur ini, aku berjaya mengubah diri dan mencapai target aku.

Tinggalkan kesedihan 33 tahun yang lalu dan bangkit bermula tahun yang ke 34.


-tamat-

Khamis, 7 Disember 2023

Tiga puluh tiga

 Hari ini hari terakhir aku berusia 33 tahun.

Sepanjang tahun ini, aku berada di dalam keadaan yang amat sukar.

Emosi aku tak stabil. Fizikal aku sakit-sakit. Kocek aku koyak rabak.

Aku ialah manusia paling miskin di dalam keluarga aku dan di dalam batch persekolahan dan universiti aku.

Pelajaran aku terumbang-ambing. Aku lebih banyak baring atau ke UIA mengenang kisah lama sedekad yang lepas.

Aku melihat adik-beradik aku kahwin. Sahabat-sahabat aku yang lebih muda ramai yang menuju ke jinjang pelamin dan sepupu-sepupuku semuanya telah membina masjid.

 Aku? Nak beli makanan pun masih mengira duit. Nak membaiki motor pun masih mengharap ihsan orang.

Duit zakat yang aku mohon untuk pelajaran habis aku laburkan untuk mencari kembali nikmat hidup yang hilang.

 Buku-buku telah lama aku tinggalkan. Terakhir masa bulan dua aku baca. Itupun sebab kena hantar sesuatu kepada penyelia.

Hidup aku sama ada di rumah, di UIA atau di Kinokuniya. Paling jauh aku berjalan ialah ke Kedah dan Pulau Pinang. Itupun setelah aku dipaksa dan ditaja oleh kawan-kawan.

Sekarang aku mula berfikir untuk berhenti belajar. Minatku sudah hilang. Ketakutan aku telah menguasai aku sehingga aku hilang semangat berjuang ketika waktu sarjanaku.

Entahlah. Esok tetap akan datang. Aku tak tahu apa lagi yang aku boleh lakukan untuk mengubah diriku sendiri. Diriku yang berusia 33 tahun sekarang.

 Kepercayaan aku pun telah lama hilang. Aku bukan lagi seorang insan yang begitu giat mencari Tuhan. 


-tamat-